Bukan semudah 'tekan butang' bubar DUN, Dewan Rakyat: Shahrir

Iklan
Catatan yang dimuat naik Shahrir di Facebook beliau.

JOHOR BAHRU - Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad menjelaskan pembubaran Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu mengikut perlembagaan dan bukan semudah 'tekan butang' sahaja.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru berkata, proses pembubaran tertakluk kepada proses di bawah perlembagaan yang melibatkan peranan ketua negara atau ketua negeri.

Iklan
Iklan

"Negara kita ada Perlembagaan. Negeri pun ada perlembagaan masing-masing.

"Tambahan pula, ada Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Pemerintah dan Tuan Yang Terutama, ketua-ketua negeri yang juga ada peranan dan tanggungjawab berperlembagaan.

Iklan

"Hendak bubar Dewan Rakyat atau DUN, bukan semudah dengan 'tekan butang' sahaja. Ada prosesnya. Ia tertakluk kepada proses di bawah perlembagaan yang melibatkan peranan ketua negara atau ketua negeri," katanya menerusi catatan di Facebook miliknya pada Ahad.

Menurut Shahrir, tiada kaitan dalam soal 'saya jatuh UMNO tidak sokong' yang dibangkitkan dengan konsep asas kepada amalan demokrasi di negara ini

Iklan

"Soal 'saya jatuh UMNO tidak sokong' pun ada kaitannya dengan konsep asas kepada amalan demokrasi kita, iaitu demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Itu, kalau kita masih boleh ingat," katanya.

Pada Jumaat, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan cabaran dibuat Shahrir agar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Johor adalah berniat jahat dan tidak bijak.

Beliau berkata, pihaknya boleh berbuat demikian, namun adalah tidak wajar untuk mengheret rakyat Johor menerima nasib sama seperti rakyat Melaka setelah apa yang dilakukan UMNO di Melaka.

"Jangan cabar saya, saya pemimpin Bersatu, PN. Nasib rakyat adalah yang utama. Shahrir tidak fikir. Dia nak mencabar saya, saya boleh buat. Sekarang pun saya boleh tekan 'button', semua jatuh. Kamu nak itu berlaku?" katanya.

Sebelum itu, Shahrir dilapor berkata, UMNO Johor bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) jika Perikatan Nasional (PN) mahu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri itu.