Capaian internet lemah bantutkan minat pengundi Melaka

Iklan
(Dari kiri) Maslinda, Noriyah, Mohsin, Nur Syafinaz, Nurul Ahda

MELAKA - Masalah capaian internet lemah di beberapa kawasan di Melaka membantutkan minat pengundi bagi mengikuti perkembangan kempen calon-calon Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu yang dilakukan menerusi dalam talian.

Itu antara isu yang dibangkitkan penduduk Melaka terutamanya di sekitar kawasan kampung atau pedalaman yang terjejas jaringan internet.

Iklan
Iklan

Seorang peniaga air, Nur Syafinaz Mohsin, 22, yang merupakan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan berkata, capaian internet yang sangat lemah di kawasan perumahannya menyebabkan dia kurang berminat untuk mengikuti info terkini sama ada mengenai parti atau calon yang bertanding itu sendiri.

"Sangat sukar untuk orang sini tengok kempen melalui media sosial. Bagi saya sendiri, kalau satu-satu video ambil masa yang sangat lama untuk buka, saya memang tidak akan tonton terus.

Iklan

"Capaian internet sangat teruk sepanjang masa terutamanya waktu hujan. Tengok tempat juga. Kadang-kadang boleh akses sikit dekat ruang tamu atau dapur, tapi tidak menentu. Ikut nasiblah,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sementara itu, Maslinda Molay, 41, mengakui bahawa kempen yang dijalankan menerusi media sosial kurang berkesan terutamanya bagi penduduk yang tinggal di kawasan capaian internet lemah.

Iklan

"Ada waktu-waktu dia (capaian internet). Kadang-kadang rumah atas bukit tengah malam baru ada internet. Kalau hendak tengok kempen dekat media sosial kena bergantung pada internet ketika itu, laju atau perlahan.

"Contoh sekarang ada yang hantar video pendek melalui WhatsApp, Telegram dan Facebook. Cuma masalahnya bila internet pun susah hendak dapat, susah sikit penduduk dapatkan maklumat tentang seseorang calon atau parti.

"Harapnya ada penambahbaikan dari segi capaian internet. Kalau boleh, wujudkan satu pusat komuniti untuk kemudahan internet supaya orang yang duduk pedalaman atau kurang kemampuan boleh menggunakannya,” kata pembantu tabika itu.

Menurut Noriyah Sabi pula, yang paling menyedihkan, ada penduduk terpaksa duduk di bawah pokok atau di merata-rata kawasan hanya untuk mendapatkan capaian internet di kampung mereka.

Penduduk berusia 41 tahun itu sangat berharap agar bakal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan mereka memohon lebih banyak pemancar telekomunikasi bagi memudahkan penduduk mendapatkan akses internet.

"Kalau boleh kami hendak mohon untuk dapatkan pemancar. Sebab jauh ke dalam ini tidak ada internet, sedangkan anak-anak sekolah guna internet semuanya.

"Hinggakan ibu bapa di sini pun tidak tahu macam mana hendak ikhtiar, reda sahaja. Dapat belajar, Alhamdulillah, kalau tidak, tak mengapalah.

"Dalam masa sama, dengan suasana PRN, ramai penduduk yang tidak tahu perkembangan politik sekarang. Apa lagi hendak tengok kempen dalam media sosial," katanya.

Mohsin Abdul Wahid, 56, pula berkata, capaian internet yang lemah menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan lebih banyak duit bagi membeli kuota internet yang lebih baik berbanding sedia ada.

Menurutnya, masalah capaian internet lemah bukan isu baharu bagi penduduk kawasan kampung sini.

"Sebelum ini, saya ada cuba untuk langgan pakej internet berbayar, tetapi mereka cakap kawasan sini memang tidak boleh pasang, kalau pasang pun, rugi sahaja sebab masih tidak akan dapat akses. Lagipun, pencawang cuma ada satu.

"Lagi-lagi bila PRN sekarang ini, maklumat berkaitan calon atau manifesto susah dan lambat hendak dapat. Kalau nak tengok juga kempen calon, kita kena keluar dari daerah sini, baru boleh dapat,” luah pengundi di DUN Asahan itu.

Dalam pada itu, Nurul Ahda Mad Isa, 39 mengakui kempen yang dijalankan oleh calon PRN melalui media sosial adalah satu tindakan yang baik terutamanya dalam musim pandemik Covid-19 yang masih belum reda.

Bagaimanapun, menurutnya, kaedah itu tidak bersesuaian dengan kawasan yang tidak mempunyai capaian internet baik.

"Capaian internet di kawasan kampung ini memang menyakitkan hati. Video pun selalu tersangkut. Kalau kempen gunakan internet bagi saya bagus, cuma akses di sini tidak mampu hendak tanggung.

"Lagipun golongan veteran tidak guna sangat telefon pintar atau media sosial. Jadi macam mana mereka hendak tengok kempen calon atau parti yang bertanding.

"Pengetahuan mereka tentang telefon pintar tidak seperti orang muda. Sangat terhad, jadi memang sukar untuk mereka ambil tahu tentang kempen norma baharu ini,” katanya yang bekerja sendiri.