Semua premis, pejabat kerajaan negeri akan guna sistem solar

Iklan
Jagdeep (tengah) ketika mendengar penerangan mengenai pembangunan projek sistem solar di kawasan tempat letak kenderaan Menara Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di sini, pada pagi Ahad.

BUKIT MERTAJAM - Semua pejabat dan premis milik kerajaan negeri Pulau Pinang akan menggunakan sistem solar dalam masa terdekat yang mampu menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sehingga 40 peratus.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, langkah itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri dalam merealisasikan agenda masyarakat rendah karbon selain menjadikan negeri ini sebagai bandar pintar menjelang 2022.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam keadaan dunia sedang berdepan dengan krisis perubahan iklim yang membimbangkan kerajaan negeri Pulau Pinang telah merangka pelbagai strategi bagi memastikan kelestarian alam dapat dijaga, negeri yang berdaya tahan, hijau dan bandar pintar yang dipacu dengan kemajuan teknologi.

"Bagi memenuhi agenda itu, kerajaan tempatan akan memastikan semua bangunan kerajaan negeri menggunakan sistem solar.

Iklan

"Kita berbangga kerana Pulau Pinang menjadi negeri pertama di Malaysia yang menggunakan kaedah ini yang bukan saja mengurangkan penghasilan karbon bahkan dapat menjimatkan penggunaan elektrik,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran pembangunan projek sistem solar di kawasan tempat letak kenderaan Menara Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di sini, pada pagi Ahad.

Iklan

Hadir sama, Datuk Bandar MBSP, Datuk Sr Rozali Mohamud.

Pada 17 Mei 2019, MBSP telah muncul sebagai pihak berkuasa tempatan yang pertama di Malaysia yang menandatangani Memorandum Perjanjian (MoU) bagi pelaksanaan perjanjian bekalan tenaga boleh diperbaharui (SARE) bagi pengurangan karbon melalui penggunaan tenaga solar.

SARE merupakan satu perjanjian antara TNB dan GSPARX sebagai pelabur PV Solar Berdaftar (RPVI) dan MBSP sebagai pelanggan, membolehkan MBSP menikmati kadar elektrik lebih rendah berbanding tarif yang diwartakan.

Sementara itu, Rozali berkata, tiga bangunan MBSP telah dipilih iaitu Kompleks Sukan Bertam, Kompleks Sukan Jalan Betek dan Pejabat Cawangan MBSP Jalan Betek untuk pemasangan sistem solar berkenaan.

Jelasnya, pemasangan fotovoltaik (PV) solar juga akan membolehkan MBSP menjual lebihan tenaga solar kepada TNB dan mendapat kredit tenaga bagi asas ‘satu-bagi-satu’ bagi mengurangkan lagi bilnya menerusi skim Net Energy Metering (NEM).

"MBSP tidak perlu mengeluarkan sebarang kos awalan untuk pemasangan sistem solar di bangunan yang telah dipilih.

"Tenaga solar yang dijana akan menggantikan tenaga konvensional apabila MBSP dapat menikmati penjimatan bil melalui tarif yang lebih rendah dan tetap sepanjang tempoh perjanjian.

"Melalui konsep ini juga, pengguna juga dapat manfaat yang sama, kadar bayaran bil elektrik yang lebih rendah dan tetap sepanjang tempoh kontrak,'' jelas beliau.