MELAKA - Pakatan Harapan (PH) terbuka untuk menyahut cabaran debat membabitkan calon-calon ‘heavyweight’ yang bertanding bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk calon Ketua Menteri Melaka, menerusi Program Berani Semuka yang bakal dianjurkan Sinar Harian 19 November ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan, ia adalah platform terbaik yang wajar dimanfaatkan.
"Sepatutnya calon-calon ketua menteri dulu (berdebat). Membabitkan tiga parti utama (PH, BN dan PN). Kemudian jika tidak boleh, minta wakil parti.
"Tapi terpulang kepada mereka sama ada setuju atau tidak. Tapi bagi saya, calon ketua menteri (perlu debat),” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.
Sinar Harian akan menganjurkan program Berani Semuka pada malam kemuncak kempen PRN Melaka Jumaat nanti dengan menampilkan wakil-wakil parti termasuk calon heavyweight termasuk yang dicalonkan sebagai ketua menteri oleh parti masing-masing.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik kesediaan kerajaan membenarkan menggunakan saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) memaparkan profil semua calon yang bertanding bagi PRN Melaka.
Bagaimanapun beliau menyifatkan kaedah tersebut tidak cukup untuk menonjolkan kredibiliti seseorang untuk mentadbir kerajaan negeri.
"Paparan profil calon itu membantu dan kita ucapkan terima kasih kepada kerajaan. Maknanya kerajaan berikan peluang untuk semua diperkenalkan.
"Tapi saya tidak faham mengapa sistem politik dan demokrasi yang matang yang masih takut. Kita cadangkan RTM panggil (calon) adakan perbahasan. Apa yang jadi takut sangat ni?
"Kamu mahu tonjolkan diri sebagai ketua menteri iaitu tokoh bagi seluruh negeri. Tapi anehnya, tidak bersedia untuk berbahas di depan calon (ketua menteri) lain,”katanya.
Pada Sabtu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, mengumumkan bahawa kerajaan membenarkan RTM untuk menyiarkan poster dan biodata calon yang bertanding pada PRN Melaka bermula Ahad.
Annuar berkata, ketetapan itu mengambil kira kesulitan kempen dan pengundi yang kurang mengenali calon-calon yang bertanding di kawasan masing-masing, sebagaimana keluhan yang didengari sejak kempen berlangsung.
Ini selepas Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan larangan kempen secara bersemuka termasuk penganjuran ceramah terbuka dan rumah ke rumah sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 ketika PRN Melaka.
Kesemua calon dan jentera parti hanya dibenar memasang sepanduk dan bunting di dalam kawasan pilihan raya, mengedar risalah bagi tujuan berkempen di peti surat penduduk sekitar dengan mematuhi penjarakan fizikal satu meter dan dihadkan tidak lebih tiga orang bagi aktiviti pengedaran berkenaan.