KOTA BHARU - Tiada kes strok haba dilaporkan di negeri ini sepanjang tempoh musim panas sejak Februari lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, namun orang ramai perlu mengambil langkah proaktif untuk mengelakkan terdedah kepada cuaca panas dalam tempoh yang lama.
Pihaknya juga sentiasa memantau perkembangan dari semasa ke semasa dan keadaan itu dijangka berlarutan antara dua hingga tiga bulan lagi.
"Untuk menghadapi cuaca panas ini, kami nasihatkan agar orang ramai mengehadkan aktiviti luar terutamanya bagi golongan yang berisiko seperti warga emas, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai penyakit.
"Ini juga termasuk pihak sekolah agar melihat semula keperluan untuk mengadakan aktiviti luar yang terlalu lama terdedah dengan cuaca panas di luar bilik darjah untuk mengelakkan mudarat kepada pelajar," katanya dalam sidang media ketika Program Kayuhan Sihat 'Fun Ride' Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan 2019 di perkarangan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kota Bharu, semalam.
Program itu turut dihadiri Timbalan Pengarah KPTM Kota Bharu, Che Museh Awang.
Program kayuhan tersebut disertai 700 peserta terdiri daripada orang awam dari seluruh negeri Kelantan dan Terengganu serta ahli persatuan berbasikal negeri yang melibatkan kayuhan sejauh 35 kilometer.
Jelas Zaini lagi, semua golongan perlu mengambil air yang mencukupi untuk mengelakkan dehidrasi (kekurangan air) di dalam badan.
"Simptom seseorang itu terkena serangan strok haba tidak spesifik sama ada demam, pening kepala, loya dan paling teruk boleh sawan," katanya.