IPOH - Isu maahad tahfiz yang tidak beroperasi berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) bakal ditangani dengan peruntukan sebanyak RM40 juta bagi membantu kos pengoperasiannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.
Beliau berkata, jumlah itu merupakan baki daripada peruntukan bagi tujuan prasarana dan infrastruktur, selepas sehingga kini RM60 juta telah diagihkan kepada institusi yang memerlukan.
"Kos operasi tidak timbul setakat ini. Terdapat RM40 juta lagi untuk digunakan bagi prasarana dan infrastruktur, tetapi oleh kerana perundingan saya dengan Menteri Kewangan, kita minta tukarkan kepada agihan untuk operasi jadi boleh kita beri sedikit sebanyak lebihan peruntukan ini.
"Yang kedua ia juga diluluskan hanya untuk maahad tahfiz dan sekolah pondok yang berdaftar, tetapi kita cuba bagi walaupun tidak berdaftar dengan harapan mereka akan berdaftar untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan bantuan Program Inspirasiku MyHAUS Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Negeri Perak di Kampung Sri Aman, Menglembu di sini pada Ahad.
Idris berkata, tiada laporan penutupan maahad tahfiz setakat ini, malah ia akan beroperasi seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.
Ogos lepas, media melaporkan sebanyak 64.7 peratus maahad tahfiz di Malaysia perlu menutup operasi mereka atas arahan kerajaan.
Perkara itu didedahkan Presiden Permata Al-Quran Manolito, Mohd Dahlan, yang menyatakan perkara itu dikesan selepas kajian pihaknya terhadap 512 maahad tahfiz di seluruh negara.
Manolito dilaporkan berkata, kajian turut mendapati 11.7 peratus maahad tahfiz perlu memberhentikan semua kakitangan, mampu bayar separuh gaji (52 peratus) dan boleh bertahan tidak lebih tiga bulan (34.4 peratus).
Sementara itu, Idris berkata, rancangan Model Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Perdana yang memberi jawatan tetap kepada guru KAFA, masih diteruskan kerajaan dan masih dalam proses akhir pelaksanaannya.
"Perkara itu melibatkan soal kajian, soal pencen dan sebagainya, yang memerlukan pentadbiran. Saya baru bermesyuarat dengan pihak Jakim dan pihak Kementerian Pendidikan, sebenarnya proses itu sudah dibuat sebahagian cuma hendak bincang termasuk perkara melibatkan waktu kelas beroperasi yang berbeza antara negeri.
"Penyelarasan ini dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam negeri atau Jabatan Agama Islam negeri, manakala kita hanya mencadangkan dari segi waktu beroperasi, mengajar dan sebagainya. Kertas-kertas itu sudah siap dan pemberian jawatan tetap dalam proses,” katanya.
Pada Januari lepas, Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri yang sebelum ini memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menjelaskan, pihaknya dalam proses akhir penyediaan Memorandum Jemaah Menteri untuk kelulusan Kabinet bagi pelaksanaan Rintis Model KAFA Perdana.
Program rintis yang membabitkan empat buah negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kelantan, Pahang dan Sabah, akan dilaksanakan di 12 buah sekolah masing-masing tiga buah sekolah di Kelantan, Pahang, Sabah dan Kuala Lumpur.
Projek itu juga bakal menjadi penanda aras untuk kerajaan mewujudkan jawatan tetap dan berpencen kepada guru-guru KAFA pada masa akan datang, serta akan dibayar elaun setaraf dengan DG29.
Sebelum itu, Idris melakukan simbolik penyerahan bantuan pembinaan tempat tinggal di bawah Program Inspirasiku MyHAUS berjumlah RM40,000 kepada peniaga Azidi Sudin, 53, yang berstatus asnaf dan dibantu dari pelbagai sudut menerusi program berkenaan.
Azidi yang berniaga air dan menjual pisang goreng hanya berpendapatan RM1,300 sebulan malah perlu menyara enam anaknya termasuk seorang yang berstatus orang kelainan upaya (OKU), turut dibantu melalui program bantuan perniagaan berjumlah RM5,000 serta Bantuan Inspirasi Pendidikan Anak berjumlah RM5,000 yang mana keseluruhannya berjumlah RM50,000. - Bernama