Samseng jalanan, pemandu mabuk diberkas

Iklan
Operasi dijalankan di sekitar pusat bandar, Jalan Pahang, Jalan Raja Laut, Jalan Cheras, Jalan Bangsar dan Lebuhraya DUKE.

KUALA LUMPUR - Seramai 16 individu diberkas atas pelbagai kesalahan trafik dalam Op Samseng Jalanan dan Op Motosikal di beberapa lokasi utama sekitar ibu kota bermula pada Jumaat sehingga awal pagi Ahad.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik(JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Zulkafli Chek Lah berkata, dalam operasi berkenaan seramai 11 lelaki berumur dalam lingkungan 22 hingga 68 tahun ditahan di bawah Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

Tambah Zulkafli, bagi Operasi Samseng Jalanan yang diadakan di Lebuhraya DUKE, seramai lima lelaki ditahan kerana menunggang dalam keadaan berbahaya dan melakukan aksi zig zag, roket, 'superman' serta bersaing.

"Kesemua suspek ditahan berumur dalam lingkungan 18 hingga 26 tahun dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Iklan

Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 420 jumlah saman dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan.

"Operasi dijalankan turut menyita 13 buah motosikal di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

Iklan

"Kesemua motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak JPJ serta diarahkan mengubah ke struktur asal," katanya.

Jelasnya, operasi akan terus dipertingkatkan pada hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

Sebelum itu, operasi berkenaan dijalankan Unit Penguatkuasaan dan Unit Risikan/ Operasi JSPT KL dengan kekuatan 10 pegawai dan 86 anggota polis bermula dari jam 9 malam dan selesai lebih kurang jam 4.00 pagi, di sekitar pusat bandar, Jalan Pahang, Jalan Raja Laut, Jalan Cheras, Jalan Bangsar dan Lebuhraya DUKE.