Dua daripada tiga AKM 100 Hari MOTAC rekod pencapaian 100 peratus

Iklan
Nancy. - Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR - Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 Hari Jemaah Menteri bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyaksikan dua daripada tiga AKM kementerian ini merekodkan pencapaian 100 peratus setakat 8 November lepas.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, dua AKM tersebut ialah AKM Pembukaan Sektor Pelancongan dan Kebudayaan serta AKM MyCraftShopee.

Iklan
Iklan

"AKM Pembukaan Sektor Pelancongan dan Kebudayaan ialah pembukaan Pulau Langkawi, Kedah sebagai Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik dan pembukaan destinasi pelancongan serta premis kebudayaan di kesemua 14 negeri di Malaysia apabila kebenaran rentas negeri dibenarkan.

"Pada awalnya, ia (pergerakan) agak perlahan namun setelah rentas negeri dibenarkan ia berjaya merekodkan pencapaian 100 peratus,” katanya dalam temu bual sempena AKM 100 Hari Jemaah Menteri Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi Buletin Bernama pada Ahad.

Iklan

Memperincikan pencapaian bagi AKM MyCraftShopee, Nancy berkata, pencapaian yang diperoleh melebihi sasaran dengan 159 pendaftaran berbanding sasaran 100 pendaftaran.

"AKM ini adalah berkaitan peningkatan pendaftaran usahawan kraf ke dalam platform digital My CraftShopee bagi mempergiat aktiviti promosi dan pemasaran produk kraf secara dalam talian,” katanya.

Iklan

Bagaimanapun, AKM bagi Penebusan Baucer setakat ini merekodkan pencapaian 59.42 peratus dengan nilai penebusan sebanyak RM3,485,070 daripada jumlah peruntukan RM5,865,000.

"AKM ini adalah penebusan insentif dalam bentuk diskaun, rebat atau baucar yang ditawarkan kepada pengguna syarikat penerbangan, Persatuan Hotel Malaysia dan pembelian produk kebudayaan bagi merancakkan semula pelancongan domestik dan aktiviti kebudayaan yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan penggiat industri pelancongan dan kebudayaan.

"AKM ini bukan dalam kawalan kita, ia dikawal pihak ketiga maka kita memerlukan suntikan daripada semua pihak untuk pastikan ia dapat dicapai, selain itu menjadi cabaran juga apabila tidak ramai yang punyai minat terhadap produk seni visual yang istimewa...tetapi insya-ALLAH ia akan dapat dicapai dalam tempoh terdekat,” katanya.

Kaedah pelaksanaan AKM Penebusan Baucar antaranya adalah melalui rebat RM100 MAS, RM30 Firefly, RM50 Air Asia dan Malindo Air serta baucar RM500 bagi pembelian seni visual bernilai RM1,000 hingga RM5,000 manakala baucar RM1,000 bagi pembelian seni visual bernilai RM5,000 ke atas.

Dalam pada itu, Nancy berkata, meskipun tempoh 100 hari adalah bagi mencapai sasaran pelaksanaan 100 peratus untuk ketiga-tiga AKM MOTAC ini, pihaknya telah mempunyai perancangan lanjut dalam usaha memastikan sektor pelancongan serta sektor kesenian dan kebudayaan dapat pulih dan bangun semula selari dengan slogan MOTAC ‘Coming Back Stronger’.

"Kita tidak mahu hanya 100 hari sahaja kemudian berhenti, kita ada Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 dan Dasar Kebudayaan Negara 2021 dan ini akan jadi fokus kita pada tahun hadapan supaya sentiasa ada produk baharu.

"Saya sebagai menteri, kami ada tubuhkan ‘war room’ untuk memantau pencapaian setiap hari pada mesyuarat selama satu jam, apabila kita dapat maklumat apa yang kita belum capai selagi itu ia berikan tekanan pada kita terutamanya pegawai yang bertanggungjawab,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini menetapkan setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama bermula 1 September 2021. - Bernama