Jentera BN terus dekati pengundi kelabu

Iklan
Sulaiman.- Foto fail Bernama

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) akan terus mendekati pengundi 'kelabu' di negeri ini sehingga ke saat-saat akhir Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Calon BN DUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, usaha itu penting bagi mengembalikan keyakinan golongan berkenaan terhadap parti itu sekali gus dapat 'memutihkan' mereka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, biarpun berdepan saingan tiga hingga enam penjuru, namun pihaknya tidak boleh mengambil ringan dan semua kerusi yang ditandingi BN adalah sengit termasuk di DUN Lendu.

Katanya, dengan tempoh berkempen hanya tinggal enam hari, adalah penting gerak kerja kempen dipergiatkan lagi bagi memastikan parti itu menang pada PRN Melaka.

Iklan

"Kita kena lebih mendekati mereka dengan penuh berhemah kerana itulah asas cara kita berkempen.

"Saya sering mengingatkan jentera agar jangan ambil mudah, malah saya yang lama ini pun kena kerja berlipat kali ganda untuk memastikan pengundi putih dan kelabu ini jelas dan faham manifesto yang dibawa BN,'' katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bangunan Pejabat UMNO Masjid Tanah, di sini, pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, sehubungan itu, jentera parti perlu memberikan penerangan kepada pengundi mengenai manifesto yang dibawa.

"Manifesto kita bukan hanya manifesto sahaja, ia merupakan satu aku janji yang kita rasa boleh laksanakan dalam tempoh tertentu sepertimana yang terkandung dalam manifesto.

"Manifesto yang kita bentangkan ini telah mengambil kira pelbagai sudut, yang mana yang kita boleh laksanakan dalam tempoh setahun dan yang mana kita boleh laksanakan dalam tempoh lima tahun," katanya.