Bajet 2022: Kedah tumpu pengurusan hutan, sumber air

Iklan
Muhammad Sanusi ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Ahad.

ALOR SETAR - Kerajaan negeri memberi tumpuan terhadap pemuliharaan khazanah alam dengan penekanan kepada aspek pengurusan hutan dan sumber air yang mampan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia merupakan komoditi penting yang perlu dikekalkan.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, RM1 juta diperuntukkan untuk kos pengurusan Lembaga Sumber Air Negeri, yang mengawal selia pengurusan dan pengekstrakan sumber air mentah dalam pelbagai sektor ekonomi.

"Bagi menyediakan bekalan air mentah mencukupi pada masa hadapan, kerajaan negeri mohon peruntukan khas daripada kerajaan Persekutuan untuk bina Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Sungai Muda.

Iklan

"Jabatan Hutan pula disediakan RM1.5 juta bagi perbelanjaan pengurusan sumber hutan, RM1.35 juta untuk pembangunan dan pemulihan hutan simpan, serta RM300,000 untuk pengeluaran benih hutan selain RM150,000 untuk program penghutanan sosial,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Ahad.

Muhammad Sanusi berkata, sepanjang tahun ini, Kedah menerima taburan hujan yang tinggi dan menyebabkan banjir kilat di beberapa daerah khususnya kawasan sepanjang sungai dan kawasan rendah.

Iklan

"Sebagai langkah pencegahan, kerajaan menyediakan RM2.6 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melaksanakan program pemuliharaan sungai, pemulihan kerosakan akibat banjir, pembangunan sistem hidrologi dan pemantauan alam sekitar,” katanya.

Menurutnya, antara projek yang bakal dilaksanakan termasuk membina stesen Tolok Banjir Telemetri di Alor Setar, Sungai Petani dan Gurun.

"Sebanyak RM750,000 akan dibelanjakan untuk penyelenggaraan kolam takungan dan saliran mesra alam di beberapa lokasi seperti Kampong Tok Sedau di Pendang, Ambangan Heights di Sungai Petani dan Serdang.

"Projek ini akan memberi faedah kepada penduduk setempat yang sering terdedah kepada banjir,” katanya.