Siapa nak bina stesen minyak di Asahan?

Iklan
Penduduk di DUN Asahan terbeban kerana ketiadaan stesen minyak dan perkhidmatan bank. (Gambar hiasan) - Foto Bernama

JASIN - Saat penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) lain bergelut dengan masalah banjir dan liputan internet, berbeza pula perkara yang menjadi bebanan buat penduduk DUN Asahan, kerana ketiadaan stesen minyak dan perkhidmatan bank.

Mungkin kedengaran remeh, namun bagi lebih 30,000 penduduk dengan kawasan meliputi 214 kilometer (km) persegi, masyarakat di Asahan terpaksa bergantung harap ke atas satu-satunya stesen minyak yang terletak di Selandar, perjalanan yang mengambil masa hampir 30 minit dari pekan Asahan.

Iklan
Iklan

Bagi Rosiah Osman, 50, perkara itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada kehidupan seharian penduduk di sini, yang rata-ratanya menggunakan kenderaan sendiri untuk bergerak.

"Saya pun tak tahu apa sebabnya.

Iklan

Dah banyak kali dengar katanya nak bina stesen minyak, tapak stesen pun katanya sudah ditanda.

Tapi sampai sekarang, senyap saja.

Iklan

"Paling tidak, penduduk yang bekerja di luar kawasan akan mengisi minyak dahulu di Jasin, pekan Selandar ataupun Tangkak, sebelum pulang ke rumah,” luahnya yang ditemui Bernama di sini.

Sebagai alternatif, penduduk Asahan akan membeli minyak petrol yang diisi ke dalam bekas botol plastik sebagai simpanan kecemasan, terutama pada waktu malam.

Katanya, masalah itu sudah lama berlaku dan sedikit ‘pelik’ kerana tiada pihak yang mahu ke depan untuk menyelesaikan masalah tersebut, atau sekurang-kurangnya usahawan stesen minyak mengambil peluang menjadikannya sebagai ‘lombong emas’ dengan menyediakan perkhidmatan tersebut.

Bukan itu saja, Asahan yang menjadi tumpuan pelancong terutama penggemar aktiviti mendaki gunung atau berkelah, pastinya lega jika lebih banyak stesen minyak dibina kerana Asahan ini dijadikan laluan bagi mereka yang hendak mendaki Gunung Ledang dari arah Melaka, ataupun hendak pergi ke Air Terjun Asahan.

"Jika ada nilai tambah seperti stesen minyak, saya percaya akan lebih ramai pelancong melalui jalan ini,” katanya yang membuka gerai makanan di pekan Nyalas.

Bukan saja Gunung Ledang yang berketinggian 1,276 meter dari aras laut, Bukit Batu Lebah yang letaknya di Hutan Simpan Senggeh turut menjadi tarikan bagi penggemar aktiviti mendaki, dan pada ketinggiannya antara 500 hingga 600 meter, pendaki dapat menikmati keindahan pemandangan Kampung Bukit Senggeh dan Selat Melaka dari puncak.

Cuma sedikit menyedihkan apabila ikon utama Asahan iaitu Laman Tiga Budaya yang menempatkan batu sempadan pertemuan antara Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, usang tanpa penjagaan rapi dari pihak berkenaan, selain ketiadaan pengangkutan awam seperti bas.

Muka bumi Asahan yang berbukit serta mempunyai banyak aliran sungai yang berpunca dari Gunung Ledang, membuatkan ramai penduduk berkecimpung dalam bidang pertanian terutama penamanan pokok getah, sawit, pisang, durian dan sayur-sayuran.

Bagi Tan Chee Shin, 52, antara 15,745 orang pengundi berdaftar di Asahan, sektor pertanian yang berkembang pesat di Asahan menyebabkan petani dan peniaga di situ sangat memerlukan bank, bagi memudahkan urusan transaksi kewangan mereka.

Chee Shin yang menetap di Chabau berkata, mereka terpaksa pergi ke Tangkak yang sejauh kira-kira 30km atau Jasin yang juga mengambil masa sekitar 30 minit, jika mahu menggunakan perkhidmatan perbankan.

"Jika dapat mesin ATM yang ada mesin deposit tunai pun sudah cukup baik. Senang penduduk nak keluar atau masukan wang tunai. Nak guna dalam talian, dekat sini bukan semuanya orang muda, tahu guna perbankan dalam talian. Sampai bila nak jadi pekan koboi,” katanya.

Pada PRN Melaka, DUN Asahan menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan Fairul Nizam Roslan (Barisan Nasional), Danesh Basil (Perikatan Nasional), Datuk Seri Idris Haron (Pakatan Harapan) dan tiga calon Bebas iaitu Mohd Noor Salleh, Azmar Abdul Hamid dan Mohd Akhir Ayob. - Bernama