Kurang persiapan bukan alasan

Iklan
Firdaus ketika melakukan gimik perasmian Liga Penalti Rakyat dan Raja Penalti di Petaling Jaya pada Ahad. Pertandingan tersebut menawarkan hadiah wang tunai RM15,000 kepada juara.

TEMPOH persiapan suntuk bukan alasan untuk Harimau Malaya menampilkan persembahan cemerlang sekali gus layak ke final dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura yang akan membuka tirainya pada 6 Disember depan.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed berkata, sasaran ke final itu masih relevan dan percaya Harimau Malaya mampu merealisasikan misi tersebut.

Iklan
Iklan

"Saya rasa pemain sudah melalui banyak perlawanan termasuk perlawanan persahabatan di Jordan (tewas kepada Jordan 0-4 dan 1-5 kepada Uzbekistan.

"Jadi, itu (kekurangan persiapan) bukan alasan kepada pemain untuk memastikan pasukan kita layak ke final Piala AFF,” katanya selepas merasmikan Liga Penalti Rakyat dan Raja Penalti di Petaling Jaya pada Ahad.

Iklan

Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dijangka hanya akan dapat mengumpulkan skuad penuh selepas berakhirnya final Piala Malaysia pada 30 November ini.

Aksi pertama skuad negara dalam kempen Kumpulan B adalah pada 6 Disember berdepan Kemboja dan ia bermakna pasukan kendalian Cheng Hoe hanya memiliki enam hari untuk melakukan persiapan.

Iklan

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan menjelaskan saingan Piala Belia dan Piala Presiden akan kembali mewarnai kancah bola sepak negara pada Februari tahun depan.

Menurutnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga telah meluluskan untuk kedua-dua saingan piala tersebut diadakan selepas terhenti selama dua tahun akibat pandemik Covid-19.

"Jawatankuasa Pertandingan telah bermesyuarat pada bulan September. Kita telah bersetuju untuka mengadakan Piala Belia dan Presiden pada pertengahan atau akhir bulan dua.

"Format juga seperti sebelum ini dan ia sebagai satu usaha untuk memastikan perkembangan bakat baharu tidak terbantut selepas piala ini terpaksa dibatalkan selama dua tahun berturut-turut akibat Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, selepas berakhir kempen Piala Presiden dan Piala Belia, badan induk bola sepak negara itu akan menganjurkan Piala FAM.

"Kita akan bawa pasukan yang tidak dapat main di Liga M3 akibat masalah kewangan dan sebagainya untuk bermain dalam piala ini.

"Formatnya, secara kalah mati dan mungkin kita akan buat untuk pemain berumur bawah 25 tahun,” katanya.