Tentera Sudan perkuat cengkaman

Iklan
Peserta protes melaungkan slogan mengutuk tentera yang kini memegang kuasa di Khartoum. - Foto AFP

KHARTOUM - Protes antirampasan kuasa kembali tercetus di Sudan pada Sabtu sehari selepas pemerintah junta tentera mengetatkan cengkaman mereka dengan menubuhkan majlis pemerintah baharu sekali gus tidak menghiraukan tuntutan rakyat sebelum ini.

Demonstrasi prodemokrasi itu berlaku hampir tiga minggu selepas ketua tentera, Abdel Fattah al-Burhan menggulingkan pemerintah dan menahan anggota kepimpinan awam serta mengisytiharkan darurat di Khartoum.

Iklan
Iklan

Pusat Jawatankuasa Bebas untuk Kakitangan Perubatan memaklumkan sekurang-kurangnya enam penunjuk perasaan turut terkorban dalam insiden pertempuran dengan pihak berkuasa ketika perhimpunan berasingan di bandar Omdurman dan timur Khartoum.

"Empat maut ditembak manakala seorang lagi dilaporkan lemas kerana terhidu gas pemedih mata. Sejumlah besar individu lain turut cedera akibat terkena tembakan peluru hidup,” ujar jurucakapnya.

Iklan

Difahamkan, kematian terbaharu itu menjadikan jumlah korban kini meningkat kepada 20 orang sejak tentera merampas kuasa pada 25 Oktober lalu.

Kebanyakan penunjuk perasaan menolak pemerintahan tentera dan melaungkan slogan ‘pemerintahan awam adalah pilihan rakyat’.

Iklan

Siri protes anjuran kumpulan menggelarkan diri mereka sebagai ‘jawatankuasa penentangan’ yang diadakan di beberapa bandar termasuk Pelabuhan Sudan dan Darfur itu turut disertai puluhan ribu penunjuk perasaan dan bekas Menteri Maklumat digulingkan, Hamza Baloul yang ditahan tentera sebelum ini.

Beberapa kanister kosong gas pemedih mata yang dilemparkan pasukan keselamatan ke arah penunjuk perasaan ditemui di bandar Umdurman. - Foto AFP

Beliau menggesa rakyat supaya terus memberi tekanan kepada pemerintah junta dengan mengadakan demonstrasi secara aman sehingga pemimpin tentera berjaya digulingkan.

"Tentera tidak seharusnya ada kaitan dengan politik, mereka sepatutnya memelihara Perlembagaan, namun dilanggar oleh Abdel Fattah,” kata seorang peserta protes, Ahmed Abdelrahman di Khartoum.

Harapan rakyat untuk melihat pemerintahan demokrasi dikembalikan di negara itu nyata musnah apabila Abdel Fattah melantik dirinya sendiri sebagai Ketua Majlis Kedaulatan yang mengecualikan blok awam utama di Sudan, Pasukan Kebebasan dan Perubahan (FCC) yang menerajui protes menentang bekas Presiden digulingkan, Omar al-Bashir pada 2019.

Pada Jumaat, beberapa pemimpin tentera dan anggota baharu orang awam yang dilantik membarisi Majlis Kedaulatan itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Abdel Fattah.

Perkembangan terbaharu itu turut mencetuskan kecaman antarabangsa dan membangkitkan kemarahan rakyat negara bergolak tersebut.

Ketika ini, siri protes mengecam rampasan kuasa tersebut dan menggesa tentera mengembalikan semula pemerintahan kepada orang awam juga diadakan di beberapa bandar di seluruh dunia.

Dalam perkembangan lain, pasukan keselamatan didakwa menahan Ketua Biro AlJazeera TV, sehari selepas tindakan kekerasan dilancarkan ke atas penunjuk perasaan prodemokrasi.

"Penahanan itu dibuat selepas pihak berkuasa bertindak menyerbu kediaman Al-Musalami al-Kabbashi," ujar rangkaian berpusat di Qatar itu menerusi Twitter tanpa memberikan butiran lanjut.

Sebelum ini, AlJazeera diberi kebenaran untuk membuat liputan menyeluruh insiden protes antirampasan kuasa dan menyiarkan wawancara bersama Abdel Fattah. - AFP