KAMPAR - Seorang lagi mangsa nahas membabitkan bas dan kereta di Kilometer 39, Jalan Ipoh - Teluk Intan di sini pada Ahad disahkan meninggal dunia.
Mangsa, S Vinotharan, 33, yang juga penumpang belakang Proton Persona disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5 petang.
Kematian terbaharu itu menjadikan korban nahas seramai tiga orang.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Kampar.
"Pada masa sama, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian mangsa adalah 'Polytrauma Secondary To Road Traffic Accident'," katanya.
Dalam nahas sekitar jam 6 pagi itu, dua lelaki maut selepas kereta yang dinaiki empat mangsa bertembung dengan sebuah bas transit awam.
Pemandu kereta, V Puventhiran, 36 dan penumpang hadapan, M Uthaya Kumar, 20, meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang lelaki yang juga penumpang belakang yang belum diketahui identiti masih dirawat di Hospital Kampar.
ARTIKEL BERKAITAN:Identiti dua mangsa nahas kereta, bas dikenalpasti