KPDNHEP teruskan Kempen Beli Barangan Malaysia 2021

Iklan
Rosol (kanan) mendengar penerangan daripada usahawan yang terlibat dalam Karnival Jualan Barangan Malaysia di Dataran Chenang, Langkawi pada Sabtu.

LANGKAWI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meneruskan pelaksanaan Kempen Beli Barangan Malaysia pada tahun ini susulan impak positif yang diterima melalui kempen itu pada tahun 2020.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata, kempen pada tahun ini disasarkan untuk pelaksanaan secara komprehensif bertujuan untuk merangsang, merancak dan memperkukuhkan ekonomi domestik dan meningkatkan pembelian produk-produk tempatan di samping menyemai semangat cintakan barangan Malaysia.

Iklan
Iklan

Katanya, penglibatan pemain industri, usahawan dan pengeluar tempatan, pihak media serta agensi kerajaan dalam pelaksanaan kempen itu turut menerapkan semangat keterangkuman dan kebersamaan Keluarga Malaysia dalam usaha memartabatkan pengeluaran produk-produk tempatan.

"Susulan itu, KPDNHEP dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dan Majlis Perbandaran Langkawi (MPL) telah menganjurkan Karnival Jualan Barangan Malaysia bermula pada 11 sehingga 14 November di Dataran Chenang di sini.

Iklan

"Karnival Jualan ini bertujuan untuk mempromosikan produk-produk tempatan dengan tema beli barangan Malaysia selain menjadi salah satu inisiatif KPDNHEP bagi membantu usahawan-usahawan tempatan dalam memasarkan produk- produk mereka," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Kebangsaan di Dataran Chenang di sini pada Sabtu.

Menurutnya, karnival berkenaan melibatkan 20 usahawan tempatan sekitar negeri Kedah dan zon utara yang terdiri daripada jenama seperti Mahsuri Gold, Datai Valley, Puteh, Twopai Craft, Lwi Blue, Lazy Lizard, Dkawi, Alazat, Mak Minah, Aurabees, Mismis, MH Saujana, Latte Langkawi, Sue's Collection Langkawi, Kraftangan Malaysia, Swag, Tiffin Jeiwa, Mokti's, Nurey's, dan Adraa By Rosyam.

Iklan

"Sepanjang karnival ini berlangsung, pelbagai aktiviti menarik dan berinformatif turut disusun dengan pelbagai jenis pengisian berbentuk 'infotainment' seperti pameran jualan, demo produk, program kepenggunaan dan malam kerohanian.

Rosol menambah, penganjuran karnival selama empat hari itu menyasarkan pengunjung dari pelbagai pelosok negeri yang melawat dan melancong ke Langkawi sejak ia menjadi lokasi Projek Rintis Gelembung Pelancongan bermula 16 September lalu.

"Selain itu, pada masa yang sama, KPDNHEP juga mengadakan program lnisiatif Pendigitilan Sektor Peruncitan (ReDl) di Langkawi khususnya di Dataran Cenang.

"Seramai 858 (33 peratus) daripada 2,596 peniaga berlesen telah menyertai program ini dan kementerian menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus peniaga akan didaftarkan sehingga Jun 2022," katanya.