RAWANG - Syarikat pengeluar sos, Jiwanis Food Industries semakin dikenali dalam kalangan pengguna Lembah Klang.
Beroperasi di Desa Sri Bayu Rawang, Jiwanis merupakan pengeluar sos cili dan tomato yang mula beroperasi sejak 2014.
Perusahaan tersebut diusahakan oleh Mohd Zain Abd Rahman, 64 dibantu menantunya, Mohd Hazrul Nizam Mohd Shariff, 36 bersama lima pekerja.
Menurut Mohd Hazrul, tidak mudah meletakkan jenama Jiwanis dalam pasaran susulan terpaksa bersaing dengan produk terkenal.
Bagaimanapun menurutnya, Jiwanis bertapak setapak demi setapak sehingga mampu mengikat kerjasama dengan beberapa pelanggan tetap termasuk peniaga keropok lekor di Batu Caves serta di kedai-kedai Buy Malaysia Food (BMF).
Pada masa sama, khidmat ejen melalui pembelian secara pukal dengan harga borong banyak membantu Jiwanis sampai kepada pengguna.
"Kami tawarkan harga RM2.70 sebotol bagi pembelian lima kotak sos dan ke atas. Kami tidak kawal harga di pasaran dan ia ditentukan oleh penjual.
"Dengan cara itu, kami sudah menempatkan produk kami dalam pasaran. Kebanyakan pasaran kami di sekitar Lembah Klang selain satu ejen di Johor,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, Jiwanis sebelum ini pernah menembusi pasaran Singapura dan Brunei namun penghantaran ke sana dihentikan sementara susulan Covid-19.
Susulan itu katanya, pengeluaran produk banyak ditumpukan di pasaran Lembah Klang termasuk peniaga dalam talian yang semakin bertambah ketika Covid-19.
Mengulas lanjut, Jiwanis tidak terkecuali terkena tempias susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lepas, namun kesannya tidak berpanjangan.
Jelasnya, hampir setiap hari sos Jiwanis di proses untuk memenuhi permintaan dengan purata pengeluaran mencecah 700 kotak sebulan.
Jiwanis kini bersiap sedia meneroka pasaran di luar Lembah Klang selain memasarkan produk ke negara jiran Indonesia, Singapura dan Brunei.
"Pada masa sama Juliwanis juga bercita-cita untuk menambah cawangan bagi membolehkan kuantiti pengeluaran ditingkatkan,” katanya.
Mereka yang berminat boleh menghubunginya 018-374 9100 untuk maklumat lanjut.