Dah menang pilihan raya jangan hilang pula

Iklan
Bendera dan poster menghiasi jalan-jalan utama dan kampung-kampung menjelang PRN Melaka 20 November ini. - Foto Bernama

MERAK Jalanan puji sikap calon-calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bertungkus-lumus turun padang berjumpa dengan rakyat.

Dalam keadaan SOP yang ketat dan risiko Covid-19, mereka bersungguh-sungguh untuk bersama dengan penduduk. Macam-macam kaedah santuni masyarakat dapat kita lihat di media sosial calon-calon yang bertanding.

Iklan
Iklan

Sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) longgarkan lagi kempen, sudah pasti hubungan antara calon dan pengundi akan lebih akrab.

Boleh dikatakan tempoh berkempen digunakan sepenuhnya untuk menonjolkan diri masing-masing.

Iklan

Bermula dengan sarapan pagi di warung-warung kecil, melawat pasar, gotong-royong, hadiri majlis kahwin hinggalah sembang santai semuanya down to earth.

Tak kira di ceruk mana, semua calon akan berada dan sedia menjadi pendengar setia daripada sekecil-kecil permasalahan rakyat hinggalah kepada isu negara.

Iklan

Calon-calon juga mudah ditemui di mana-mana. Amatlah luar biasa jika wajah-wajah mereka tidak dapat dilihat ketika ini.

Oleh itu, kesungguhan untuk menjadi wakil rakyat sejati iaitu untuk berkhidmat kepada penduduk setempat perlulah berterusan setelah menang pilihan raya.

Banyak isu-isu komuniti memerlukan perhatian dan penyelesaian segera daripada pemimpin yang baru dipilih.

Dalam keadaan pandemik yang belum reda dan masalah ekonomi yang makin mencabar, keprihatinan wakil rakyat amat diperlukan untuk membantu rakyat kembali bangkit untuk bersama-sama memulihkan negara.

Janganlah setelah menang, terus hilang tanpa jejak. Telefon tidak berjawab, nak dapat berjumpa jauh sekali. Sikap yang amat berbeza ketika meraih undi.

Jika sebelum pilihan raya, tangan pengundi pun dicium tetapi setelah memperoleh undi habis madu sepah dibuang.