TANDUKAN minit terakhir jentera kelab liga Inggeris, Fulham, Aleksandr Mitrovic memastikan Serbia mengesahkan slot automatik ke Qatar 2022 selepas menjinakkan Portugal 2-1 di Lisbon.
Anak buah Fernando Santos yang memulakan perlawanan dengan tempo yang sempurna menguasai aksi bermula dengan gol pertama daripada Renato Sanches seawal minit kedua.
Biarpun begitu Serbia kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-33 menerusi bekas pemain Southampton, Dusan Tadic untuk 1-1 menuju ke bilik persalinan.
Separuh masa kedua, kedua-dua pasukan saling mengasak bagi mencari gol kemenangan untuk slot automatik.
Namun, skuad Dragan Stojković ternyata lebih agresif menjelang baki 15 minit perlawanan sekali gus memberikan tekanan kepada tuan rumah yang akhirnya dijelmakan Mitrovic pada minit ke-90'.
Keputusan di Estadio de Luz, Lisbon itu menyaksikan Portugal perlu mengharungi perlawanan play-off sekiranya pasukan tersebut mahu bersaing di Qatar 2022.
Serbia kini mengemudi Kumpulan A dengan 20 mata manakala Portugal pula 17 mata selepas masing-masing mengharungi lapan perlawanan.
Sementara itu, Ronaldo yang mengakui edisi Qatar 2022 merupakan pentas penampilan terakhirnya di temasya terbesar sukan bola sepak dunia itu pada 2016 berkata,"Saya menjangkakan Qatar boleh menjadi Piala Dunia terakhir saya.
"Saya sering bercuti di sana, ke Qatar dan juga Dubai. Saya gembira kerana pastinya ia akan menjadi kejuaraan antarabangsa terakhir."