Clarice perjuang isu tambak laut di Melaka

Iklan
Clarice (kanan) bertanya khabar salah seorang peniaga ketika singgah di sebuah pasar di Bandar Hilir.

Clarice (kanan) bertanya khabar salah seorang peniaga ketika singgah di sebuah pasar di Bandar Hilir.

Pertama kali bertanding sebagai calon pilihan raya, Clarice Chan Ming Wang mengakui ia satu pengalaman baharu baginya, apatah lagi hanya sempat tidur sejam atau dua jam sehari kerana kesibukan berkempen.

Iklan
Iklan

Calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Bandar Hilir ini nekad dan bekerja keras membawa suara rakyat terutamanya isu penambakan laut di Melaka sehingga menjejaskan kehidupan penduduk khususnya golongan nelayan.

Walaupun bergerak aktif dalam NGO, beliau melihat kapasiti ADUN adalah lebih kuat dalam membawa suara rakyat ke hadapan.

Iklan

Ikuti temu bual Wartawan Sinar Harian, Farah Shazwani Ali bersama Clarice Chan Ming Wang dalam perjuangan beliau untuk penduduk Bandar Hilir yang juga kawasan tumpuan pelancong di Melaka.

SINAR HARIAN: Sejak bila saudari terlibat dalam politik dan apa yang menyebabkan anda berminat?

Iklan

CLARICE: Dalam politik saya baru menyertainya kira-kira setahun lalu tetapi melibatkan diri dengan badan bukan kerajaan (NGO) sejak berusia 31 tahun. Sebelum ini saya bekerja di Sarawak tetapi nekad tinggalkan kerjaya dan menjaga ibu yang sakit di Melaka. Sejak itu, saya akan terlibat dengan NGO iaitu The Malacca Club dan Malacca Theatre Group di samping menjalankan perniagaan. Melalui NGO, saya banyak terlibat dengan penganjuran persembahan untuk komuniti dan kursus meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris.

Saya juga terlibat dengan SOS (Save Our Shores) iaitu NGO tidak rasmi yang bergerak melalui media sosial. Ahli SOS terdiri daripada pihak media, orang politik dan wakil penduduk setempat yang tinggal di perkampungan Portugis, Tanjung Kling dan Kelebang. Fokus saya adalah tidak menyokong penambakan laut di pesisiran air di Melaka kerana ia akan menjejaskan rezeki nelayan, terutamanya yang tinggal di perkampungan Portugis. Penambakan menyebabkan lumpur-lumpur berkumpul dan menyukarkan nelayan selain menjejaskan alam sekitar dan haiwan laut. Ikan lumba-lumba juga sudah tidak datang lagi di perairan ini.

Saya sedar, apabila bergerak sebagai NGO kita tiada suara yang kukuh. Saya melihat politik sebagai platform untuk saya ketengahkan masalah ini.

Apa perasaan saudari menjadi calon mewakili PN?

Secara peribadi, ia sangat mencabar tetapi saya percaya dengan Abah (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Perikatan Nasional (PN). Semua calon PN sudah berikrar tidak akan melibatkan diri dengan kegiatan rasuah. Apabila terlibat, banyak perkara yang kita tidak boleh lakukan. Jika tiada rasuah, peruntukan diberikan sepenuhnya untuk kita salurkan keperluan demi rakyat.

Apa pandangan saudari tentang kewibawaan wanita untuk menjadi calon pilihan raya dan seterusnya memimpin?

Saya sebagai wanita mahu memperjuangkan hak-hak wanita. Kita tidak berniat untuk melebihi kaum lelaki, tetapi sama-sama mahu memperjuangkan hak rakyat. Saya perlukan sokongan rakyat untuk bersuara di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan saya berjanji akan memperjuangkan hak-hak wanita. Dalam DUN Melaka, hanya beberapa orang wanita yang mewakili rakyat. Saya harap boleh mewakili suara wanita di DUN.

Clarice sewaktu mendapat watikah pelantikan sebagai calon PN daripada Muhyiddin.

DUN Bandar Hilir sebelum ini milik DAP. Bagaimana saudari melihat cabaran daripada DAP dan calon-calon lain?

Memang diakui cabaran amat kuat di DUN Bandar Hilir tetapi saya akan cuba sedaya upaya. Buat masa ini, saya fokuskan kepada kempen melalui media sosial dan temu bual dengan media. Saya tidak kisah walaupun tidak cukup tidur kerana saya mahu memperkenalkan diri kepada pengundi di kawasan saya. Saya akan turun padang berjumpa pengundi di kawasan untuk perkenalkan diri. Saya sedar, pengundi hendak lihat siapa calon yang mereka henda undi, saya kena hormati kehendak mereka.

Dari pengamatan saya, masyarakat Cina di Bandar Hilir cenderung untuk melihat kepada parti. Jadi, saya harap mereka boleh beri saya peluang dan menilai kebolehan serta keupayaan saya. Ya, saya masih baru dan kurang dikenali, namun saya akan bekerja keras dan cuba yang terbaik. Terdapat 13 peratus pengundi Melayu di DUN Bandar Hilir. Walaupun tidak banyak, saya akan cuba menawan hati mereka.

Apakah pembaharuan yang ingin dibawa, khususnya di DUN Bandar Hilir?

Perkara utama yang saya akan perjuangkan ialah menolak penambakan laut kerana ia menjejaskan rezeki nelayan khususnya di perkampungan Portugis. Selain itu, saya ingin mengatasi masalah kesesakan di kawasan Bandar Hilir kerana ia kawasan pelancongan. Ini memberi kesan kepada kehidupan masyarakat.

Bandar Hilir juga terdapat banyak pangsapuri lama, ada yang terabai, bangunan usang dan persekitaran kotor. Saya rancang untuk buat pengubahsuaian. Saya akan mohon peruntukan untuk lakukan semua ini. Dahulu, Melaka Raya menjadi pusat ekonomi tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, Kota Laksamana pula jadi tumpuan. Saya akan pastikan premis perniagaan di Melaka Raya tidak tutup dan kembali beroperasi.

PROFIL

Nama: Clarice Chan Ming Wang

Umur: 42 tahun

Pendidikan: Diploma University of London

Pengalaman:

Naib Presiden The Malacca Club

Presiden Malacca Theatre Group

Jawatan Politik:

Wanita Perikatan Nasional Melaka

Wanita Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Melaka