MELAKA -"Mereka baharu menabur janji, saya sudah lama menabur bakti”, itu prinsip yang dipegang calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang juga penyandang di kawasan itu.
Moto itu bukan omong kosong tetapi menurutnya, ia telah diterjemahkan sejak tiga tahun lalu apabila beliau sebagai sebagai wakil rakyat kawasan berjaya menyelesaikan pelbagai masalah penduduk setempat.
"Saya mungkin agak celupar, tetapi daripada masalah longkang sampai ke sebesar-besar masalah, Insya-ALLAH saya akan selesaikan.
"Saya takde IR (Insinyur kelayakan sebagai jurutera), tapi saya ada JR (Jiwa Rakyat), itu kita kena ada sebagai wakil rakyat, Insya-ALLAH rakyat akan menilainya, jika terus diberi mandat saya akan teruskan kerja-kerja sebagai wakil rakyat iaitu membantu penduduk selesaikan pelbagai masalah,” katanya ketika ditemui di Pantai Peringgit di sini.
Terkenal dengan jolokan ‘YB Viral’, anak jati Pengkalan Batu berusia 56 tahun ini berkata, masalah perparitan yang menyebabkan banjir dan masalah anak muda yang hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19 akan menjadi antara perhatian utama jika beliau terus diberikan amanah sebagai wakil rakyat.
Tidak gentar dengan empat lagi saingannya, Norhizam yang menggunakan logo kunci pada pertandingan kali ini, mempertaruhkan prestasinya untuk dipilih semula sebagai wakil rakyat di kawasan itu.
Norhizam yakin dirinya akan mencipta sejarah sebagai calon Bebas dengan mempertahankan kerusi Pengkalan Batu sambil menegaskan persepsi wakil rakyat Bebas tidak boleh buat kerja di kawasan, perlu ditangkis.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan menyokong gabungan tertentu bagi membentuk kerajaan negeri demi terus memberikan perkhidmatan terbaiknya kepada pengundi.
"Saya tidak boleh fikirkan diri sendiri dalam soal ini, saya akan melihat tawaran yang dipelawa kepada saya dan pastinya ia bersyarat. Tidak kira gabungan mana pun, jangan buat perangai lama, itu syarat saya,” katanya yang akan memikirkan tentang sebarang tawaran, hanya jika beliau sah menang selepas hari pengundian nanti.
Menyentuh mengenai sentimen pengkhianat dan gelaran ‘katak’ kepadanya, Norhizam membidas kenyataan tersebut sambil menyatakan perkara tersebut dibuat kerana tidak mahu terus melihat kerajaan negeri melakukan penyelewengan yang disifatkannya sebagai kemungkaran.
"Saya nak perbetulkan sentimen terhadap saya, saya bukan pengkhianat, bukan katak tetapi saya penyelamat, jika saya dan tiga lagi tidak berbuat demikian, maka kita akan terus melihat perkara tidak betul dalam kerajaan, parti tidak salah, yang salah pemimpinnya, kalau ada siapa yang kata katak tu, datang jumpa saya, saya ‘sekolahkan’ dia,” ujarnya.
Meninjau di ruangan Facebooknya ‘Aku YB Ke Kau YB?, Norhizam berkata, selain semua kerja-kerja di kawasannya direkodkan di laman itu, ia juga menjadi saluran untuk beliau mengambil maklum segala aduan masyarakat selain bertemu secara fizikal.
Beliau berkata, pendekatannya di dalam sidang DUN mungkin dilihat kasar, tetapi karaktor tersebut adalah sifat semulajadinya dan menegaskan ia penting untuk beliau membawa suara rakyat menerusi persidangan DUN.
"Saya bukan berlakon, itu memang diri saya. Dalam dewan saya memang lawan, tetapi di luar dewan saya kawan, bersama penduduk saya lebih selesa berlembut, makcik pun boleh menangis dengan saya, sebolehnya saya tidak mahu meletakkan sempadan dengan masyarakat, saya mahu kekal menjadi wakil rakyat yang mudah didekati,” katanya.
Norhizam yang pernah menyandang jawatan Timbalan Pengerusi DAP Negeri Melaka ‘menawan’ kerusi Pengkalan Batu di bawah Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan majoriti 2,756 dan dilantik sebagai Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan Negeri.
Beliau kemudian keluar dari DAP dan menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mengambil alih kerajaan PH di Melaka pada Mac 2020 dengan mengekalkan portfolio yang sama atas tiket Bebas.
Bagaimanapun pada Oktober lalu, Norhizam bersama-sama tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik sokongan terhadap BN menyebabkan DUN Melaka terbubar dan PRN terpaksa diadakan, 20 November ini.
Pada PRN Melaka, Norhizam akan berdepan pertembungan lima penjuru dengan calon muda Muhamad Danish Zainudin (PH), Mohd Azrudin Md Idris (PN), Dr Mohd Aluwi Sari (Putra) dan Datuk Kalsom Nordin (BN). - Bernama