Jenayah Maritim dijangka naik selepas PPN tamat

Iklan
Hamid (kiri) bergambar bersama Penasihat ABF, Superitendan John Fleming sebagai gimik perasmian Operasi Redback ke-16 di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Negeri Johor pada Isnin.

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak menolak kemungkinan aktiviti rentas sempadan dan kes penyeludupan di perairan negara ini meningkat selepas Pelan Pemulihan Negara (PPN) ditamatkan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Hamid Mohd Amin berkata, kemungkinan itu adalah dengan melihat situasi semasa pelbagai sektor dibuka yang kemudian menjadi tarikan kepada warga asing untuk kembali ke negara ini.

Iklan
Iklan

"Apabila pelbagai sektor sudah dibuka, peluang pekerjaan meningkat. Warga asing ini akan mengambil kesempatan masuk ke negara kita untuk bekerja," katanya dalam sidang media sempena pembukaan Operasi Redback ke-16 Maritim Malaysia bersama Australian Border Force (ABF) di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Negeri Johor di sini, pada Isnin.

Hamid berkata, peningkatan kes-kes jenayah maritim itu juga dipercayai berpunca daripada penglibatan sendiri komuniti tempatan yang terpengaruh dengan habuan lumayan sebagai ejen penyeludupan.

Iklan

"Jenayah rentas sempadan lazimnya didalangi sindiket yang mempergunakan warga tempatan sebagai tali barut mereka," katanya.

Sementara itu, mengenai Operasi Redback ke-16 bersama ABF itu, Hamid berkata, usaha berkenaan adalah kerjasama taktikal yang strategik dengan menumpukan kaedah komunikasi strategik di lokaliti tertentu.

Iklan

Beliau berkata, operasi selama tujuh hari sehingga 21 November itu akan melibatkan sesi latihan dan perkongsian kepakaran.

"Keluasan perairan negara yang berjumlah 614,000 kilometer persegi dengan sempadan perairan sepanjang 8,840 kilometer serta pantai di sepanjang 4,675 kilometer adalah antara ruang lingkup tanggungjawab Maritim Malaysia.

"Dalam operasi ini, tumpuan kami berikan di Selat Melaka dan perairan Johor Barat yang dilihat aktif dengan kadar kira-kira 85,000 kapal dagang melebihi 300 tan menyusuri perairan ini setiap tahun," katanya.