KUALA LUMPUR - Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan kebenaran bagi jemaah dari luar Arab Saudi untuk mendapatkan visa umrah melalui aplikasi telefon pintar,"Eatmarna” dan"Tawakkalna”.
Menurut Twitter rasmi kementerian itu, jemaah juga boleh mendapatkan kebenaran untuk menunaikan solat di Masjidil Haram dan menziarahi Masjid Nabawi melalui kedua-dua aplikasi berkenaan, selepas mendaftar melalui platform"Quddum” sebaik tiba di Arab Saudi.
Iklan
Iklan
"Bagi mempermudah urusan tetamu al-Rahman, kini jemaah dari luar Arab Saudi boleh mendapatkan visa umrah menerusi aplikasi"Eatmarna” dan"Tawakkalna” yang disediakan pada platform Google Play, App Store, App Gallery, Galaxy Store”," menurut kementerian itu.
Agensi Berita Arab Saudi (SPA) yang memetik kementerian terbabit menyatakan kebenaran ini bagaimanapun terhad kepada jemaah yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 yang diiktiraf kerajaan Arab Saudi, selain mereka yang mendapat pengecualian seperti tertera pada aplikasi"Tawakkalna”.
Sementara itu, bagi pemegang visa umrah yang belum lengkap dua dos vaksin pula diminta untuk segera mendapatkan suntikan dos kedua dalam masa 48 jam di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) di negara berkenaan.
Syarat-syarat ini ditetapkan demi memelihara kesihatan jemaah seperti mana ditetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan pandemik Covid-19. - Bernama