Pemuliharaan bukit batu kapur sebahagian RT Ipoh

Iklan
Nolee Ashilin menurunkan tandatangan selepas mewakili Menteri Besar Perak merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Bandar raya Ipoh 2023 (Penggantian) serta Pelancaran Tindakan dan Penjenamaan Wilayah Pelancongan Greater Ipoh di sebuah hotel di sini pada Isnin.

IPOH - Pemuliharaan kawasan bukit batu kapur di sekitar Bandar raya Ipoh menjadi sebahagian daripada Rancangan Tempatan (RT) Bandar raya Ipoh menjelang 2035.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, usaha tersebut merupakan salah satu perancangan pembangunan di Bandaraya Ipoh.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kawasan bukit batu kapur akan diberi perhatian sewajarnya dengan usaha konservasi selain beberapa perubahan di kawasan yang belum diterokai.

"Rancangan Tempatan Ipoh memainkan peranan penting menyelaras matlamat ke arah pembangunan lestari sebagaimana agenda antarabangsa seperti Sustainable Development Goals, New Urban Agenda, Revolusi Industri 4.0.

Iklan

"Seiring pembangunan pesat bandar raya di Malaysia, penggunaan tanah di kawasan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) juga perlu dikawal supaya dapat menjaga alam sekitar dan pembangunan dengan pengawalan yang baik," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Beliau sebelum itu mewakili Menteri Besar Perak merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Bandar raya Ipoh 2023 (Penggantian) serta Pelancaran Tindakan dan Penjenamaan Wilayah Pelancongan Greater Ipoh di sebuah hotel

Iklan

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin; Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) PlanMalaysia, Datuk TPr Mohd Faidzal Hamzah dan Pengarah PlanMalaysia Perak, TPr Asni Mustafa.

Nolee berkata, RT itu turut menjadi pemudah cara pemajuan dan penggunaan tanah serta melindungi dan memelihara alam sekitar.

Jelasnya, ia juga akan menjadi rujukan kepada pemaju atau pelabur semasa mengemukakan pelan perancangan agar selaras dengan garis panduan yang ditetapkan.

Tambah beliau, antara projek utama berimpak tinggi yang akan dilaksanakan dalam RT itu ialah pengurusan pengangkutan awam pada masa akan datang.

Katanya, selain itu Silver Valley Hi-tech Park akan diperkasa bagi memacu pelaburan sektor perindustrian di dalam bandar raya Ipoh yang sekali gus akan membantu merancakkan ekonomi penduduk setempat.

Menurut Nolee Ashilin, melalui RT itu juga, pembangunan produk pelancongan turut diberi tumpuan dengan beberapa projek dikenal pasti antaranya pembangunan semula Kampung Paloh, Kampung Kuchai, memperkasa produk sepanjang sungai kinta dan beberapa lagi inisiatif dirancang.

"Saya difahamkan RT ini akan mempamerkan 107 projek cadangan serta 256 tindakan telah dirangka untuk mencapai kejayaan atau KPI yang telah diletakkan.

"RT ini disediakan bagi menggantikan RT Ipoh 2020 yang tamat tempoh selaras dengan peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172)," katanya.