SUNGAI PETANI - Lebih 200 penduduk Taman Seri Jenaris, Tikam Batu, di sini tidak tahan berdepan banjir lumpur setiap kali musim tengkujuh yang berlarutan hampir 10 tahun lalu.
Penduduk, Ismail Mohd Ishak, 46, antara yang teruk terjejas memandangkan kedudukan rumahnya terletak paling hampir, bersebelahan kaki bukit yang kini dijadikan dusun, didakwa antara punca aliran air melimpah sehingga menyebabkan lebih 50 buah rumah ditenggelami air.
Menurutnya, kejadian paling buruk berlaku kira-kira 10 tahun lalu apabila kepala air meruntuhkan tembok halaman rumahnya selain banjir lumpur di beberapa buah lorong perumahan terbabit.
"Ketika itu, parit asal yang digunakan bagi mengalirkan air dari atas bukit tidak mampu menampung kapasiti yang lebih besar menyebabkan limpahan ke kawasan perumahan sehingga tembok rumah saya runtuh.
"Saya terpaksa bina semula tembok menggunakan dana sendiri, sementara pihak berkuasa tempatan (PBT) ketika itu membina saliran baharu bagi tujuan mengalirkan air bukit ke longkang sepatutnya.
"Bagaimanapun, akibat tiada penyelenggaraan, saliran yang dibina hanya bertahan beberapa tahun berikutan dipenuhi sisa lumpur dan sampah sarap menjadikan banjir semakin buruk," katanya.
Rozita Azmi, 45, pula berkata akibat taburan hujan yang kerap pada ketika ini, menjadikan rumah mereka seolah-olah berada dalam 'sungai'.
"Setiap kali hujan melebihi 30 minit tak kira waktu sama ada tengah malam atau awal pagi, kami memang tak boleh lelapkan mata.
"Bimbang juga dengan keselamatan kanak-kanak dan warga emas kerana banjir turut membawa limpahan sisa kebun seperti buah nangka hanyut, ranting kayu dan sampah-sarap," katanya.
Sementara itu, Shahril Ismail, 42, berkata, ada sesetengah penduduk mengalami tekanan memandangkan kejadian banjir lumpur berlaku hampir setiap hari pada musim tengkujuh.
"Dalam bulan November sahaja, kira-kira 10 kali dah cuci rumah, bila tidak dicuci, air bertakung dan risiko pula kehadiran haiwan berbiasa atau membahayakan keselamatan penduduk akibat jalan licin dan bertakung, ada penduduk terpaksa bawa jentera pengorek sebab nak buang sisa lumpur di halaman dan depan jalan," jelasnya.
Seorang lagi mangsa, Suhadi Soed, 36, berkata, disebabkan tidak mahu kejadian lebih buruk, penduduk bergotong-royong membersihkan longkang yang dipenuhi sisa lumpur setiap kali banjir.
"Kami dah letih setiap kali hujan, kena bersihkan.
"Kalau tidak cuci, mungkin lagi teruk air bertakung dalam taman dan banjir tidak mungkin surut," jelasnya.
Sehubungan itu, penduduk turut menggesa agar masalah itu diatasi segera dengan cadangan pembinaan saliran baharu bagi mengasingkan sisa air bukit dari kawasan perumahan tersebut.
Dalam perkembangan sama, Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Saifulazli Ahmad berkata, pihaknya telah membuat pemantauan berhubung perkara itu dan mengenal pasti kawasan terjejas.
"Saya telah memaklumkan kepada pihak MPSPK, mereka juga telah turun padang.
"Perkara ini akan dikemukakan menerusi mesyuarat infra MPSPK minggu hadapan bagi mendapat reaksi dan perbincangan susulan dan tindakan selanjutnya," jelasnya.