MOSTI perkasa sektor ekonomi Malaysia lebih berasaskan teknologi

Iklan
Datuk Seri Dr Adham Baba

PUTRAJAYA - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) komited untuk memperkasakan sektor ekonomi Malaysia dalam pertanian, pembuatan, perkhidmatan dan mitigasi bencana agar lebih berasaskan teknologi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata pembentangan RMK12 adalah pada masa yang tepat untuk mengatasi kesan Covid-19, mengubah beberapa industri dan aktiviti strategik seperti elektrik dan elektronik serta pertanian pintar.

Iklan
Iklan

Beliau berkata pandemik Covid-19 telah mendorong manusia untuk menerima teknologi baharu untuk mengekalkan perniagaan dan kehidupan semasa kegawatan ekonomi.

"Sebagai tindak balas kepada impak Covid-19, Keluarga Malaysia perlu bergerak ke hadapan dengan automasi dan mekanisasi dalam rantaian proses pembuatan,” katanya ketika berucap sempena RMK12: Memperkasa Pembangunan Teknologi dan Pengkomersialan, yang diadakan secara dalam talian pada Isnin.

Iklan

Dr Adham berkata, komponen utama untuk memperkasakan masyarakat daripada menjadi pengguna teknologi kepada pembangun teknologi adalah dengan memberi tumpuan kepada pembangunan dan aplikasi teknologi canggih.

Beliau berkata, MOSTI akan memainkan peranan penting dalam RMK12 untuk memulihkan pembangunan dan kestabilan ekonomi serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negara melalui sains, teknologi dan inovasi.

Iklan

Dr Adham berkata, MOSTI akan akan mempergiatkan inisiatif kesedaran sains, teknologi dan inovasi untuk memupuk budaya saintifik bagi memastikan kesediaan masa depan untuk generasi akan datang.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan RMK12 pada September 27 yang merangka pelan lima tahun untuk mengubah negara menjadi persekitaran yang makmur, inklusif dan mampan.

RMK12 mengetengahkan beberapa strategi utama yang didorong di bawah tiga tema dan empat pemangkin dasar, satu daripadanya adalah ‘Mempercepatkan Penggunaan dan Inovasi Teknologi,” yang akan diperjuangkan oleh MOSTI. - Bernama