SHAH ALAM - Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menyasarkan potensi pembiayaan berjumlah RM2.97 juta menerusi program keusahawanan anjurannya, program BizFrancais untuk membantu dan memperkasakan usahawan di Sabah.
Pengerusinya, Datuk Zakaria Mohd Edris berkata, bermula pada tahun 2017 sehingga kini, Pernas telah membiayai sebanyak RM5.38 juta kepada para usahawan di Sabah.
Menurutnya, Program BizFrancais pada tahun ini yang diadakan di lokasi pertama iaitu Sandakan telah berjaya menarik minat seramai lebih 250 peserta dalam kalangan usahawan, bakal usahawan dan orang awam yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ilmu keusahawanan terutamanya dalam bidang francais dan bantuan yang ditawarkan oleh Pernas.
"Program ini merupakan inisiatif Pernas bagi pembentukan usahawan yang komprehensif dengan membantu usahawan dan bakal usahawan untuk mencari peluang menceburi bidang perniagaan khususnya perniagaan francais,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Zakaria berkata, program selama satu hari itu meliputi sesi perkongsian ilmu daripada usahawan francais, taklimat dari agensi kerajaan seperti Pernas, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta klinik perniagaan bersama jenama francais, prafrancais dan jenama di bawah program 'Business In Transformation' (BIT).
"Program ini turut mengumpulkan jenama-jenama francais dan prafrancais di bawah satu bumbung dan memberi peluang kepada peserta yang hadir bagi mendapatkan input serta meneroka potensi bidang perniagaan francais.
"Sebanyak 21 jenama turut menyertai program hari ini termasuklah jenama francais terkemuka seperti Marrybrown, Mok Corner dan Gloria Jean’s Coffees serta usahawan tempatan yang lahir dari Program BIT Pernas seperti Cendol Ina, Alap-Alap dan Rollie Café,” katanya.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata, selain Sandakan, Pernas telah memilih untuk menganjurkan program BizFrancais di lokasi kedua iaitu di Johor pada tahun ini.
"Sejak diperkenalkan pada tahun 2019, Pernas telah menganjurkan lapan siri program BizFrancais antaranya di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kelantan, Langkawi, Johor, Sabah dan Sarawak.
"Pernas juga telah meluluskan sebanyak RM7.7 juta pembiayaan susulan daripada penganjuran program BizFrancais di lapan lokasi tersebut,” katanya.
Program BizFrancais yang diadakan di Sandakan itu telah dianjurkan oleh Pernas yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dengan kerjasama MPS sebagai usaha bagi membantu usahawan-usahawan Sabah.