DSNN 2021-2030 bentuk ekosistem nanoteknologi dinamik

Iklan
Adham Baba

PUTRAJAYA - Dasar dan Strategi Nanoteknologi Negara 2021-2030 (DSNN) dilancarkan pada Isnin untuk membentuk ekosistem nanoteknologi negara yang dinamik dan progresif serta mengetengahkan potensi nanoteknologi bagi menyelesaikan cabaran yang dihadapi negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, DSNN, yang merangkumi empat teras strategik disokong oleh 15 strategi serta 32 inisiatif merentasi pelbagai sektor ekonomi, menyediakan ekosistem nanoteknologi yang mampan.

Iklan
Iklan

"DSNN akan memastikan penggunaan sumber yang lebih efisien dapat dipertingkatkan, kos penyelidikan serta pembangunan teknologi dan produk dapat dioptimumkan untuk kemajuan Keluarga Malaysia," katanya ketika melancarkan DSNN itu secara maya pada Isnin.

Empat teras DSNN adalah memperkukuhkan ekosistem dan tadbir urus, memakmurkan penyelidikan dan pembangunan (R&D), meningkatkan pengkomersialan dan memacu industri serta memperkukuhkan standard, keselamatan dan regulatori.

Iklan

DSNN, katanya mengetengahkan potensi nanoteknologi untuk menyelesaikan cabaran yang dihadapi negara antaranya kebergantungan kepada pekerja asing dalam sektor pembuatan, pembinaan dan pertanian, masalah pencemaran alam sekitar, penjanaan tenaga baru diperbaharui, hasil pertanian dan keselamatan makanan.

Menurutnya, pandemik Covid-19 telah membuktikan perkembangan nanoteknologi dalam pembangunan vaksin Pfizer-BioNTech dengan mengaplikasikan lipid nanopartikel yang melindungi dan membawa Messenger Asid Ribonukleik (mRNA) ke tapak sasaran sel yang dikehendaki dalam badan manusia.

Iklan

Dr Adham berkata, pelaksanaan DSNN akan menangani cabaran utama bidang nanoteknologi di Malaysia iaitu proses untuk mengkomersialkan teknologi atau produk serta kesedaran tentang kepentingan piawaian dan pensijilan untuk produk nanoteknologi di pasaran.

Menurut Dr Adham, kerajaan telah mengorak langkah menerokai peluang menerusi nanoteknologi bermula 2006 dengan memperkenalkan dan melaksanakan Inisiatif Nanoteknologi Nasional.

Selepas 15 tahun pelaksanaan inisiatif Nanoteknologi Nasional itu, ia mecatatkan beberapa rekod membanggakan antaranya Pelan Tindakan Graphene Kebangsaan 2020 yang mengaktifkan lebih 50 projek, mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi serta sumbangan pendapatan syarikat sehingga RM3 bilion pada lima tahun pertama pengkomersialan, katanya. - Bernama