Cadangan Sanusi ketika jadi pembangkang dibangkitkan semula

Iklan
Muhammad Sanusi, Amiruddin

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diminta menyatakan sama ada kerajaan negeri bersedia atau tidak melaksanakan tiga penambahan hasil negeri yang pernah dicadangkan beliau ketika menjadi ketua pembangkang.

Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang-Anak Bukit) membangkitkan perkara itu berikutan Muhammad Sanusi kini mempunyai kuasa untuk berbuat demikian selepas dilantik menerajui Kedah.

Iklan
Iklan

Menurut Amiruddin, Muhammad Sanusi pernah mencadangkan agar tanah persendirian atau pertanian yang dibangunkan untuk aktiviti perniagaan diubah status bagi membolehkan kerajaan negeri mengutip cukai, seterusnya meningkatkan hasil negeri.

"Adakah sudah dilaksanakan cadangan Muhammad Sanusi itu ketika beliau bergelar pembangkang. Sekarang sudah pun menjadi Menteri Besar,” katanya ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan ucapan Bajet 2022 ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Isnin.

Iklan

Amiruddin berkata, dua lagi cadangan yang dikemukakan Muhammad Sanusi ketika itu adalah berkaitan tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dipacak atas tanah kerajaan negeri perlu dikenakan cukai bagi menambahkan hasil negeri.

"Ketika itu, Jeneri (Muhammad Sanusi) turut mencadangkan agar dikenakan cukai pada tanah yang dijadikan lebuh raya di negeri ini kerana pengguna dikenakan kutipan tol ketika menggunakan laluan itu.

Iklan

"Adakah ketiga-tiga cadangan Muhammad Sanusi itu sudah dilaksanakan di Kedah,” soal beliau lagi.

Sebelum itu, Amiruddin turut meminta kerajaan negeri memperjelaskan langkah yang diambil dalam meningkatkan hasil negeri sehingga berlaku lebihan rizab di bawah Akaun Hasil Disatukan sebanyak RM170.04 juta, manakala simpanan tetap kerajaan negeri dijangka sebanyak RM510.31 juta setakat 2 November lalu.

"Adakah lebihan itu disebabkan banyak program yang dirancang tidak dapat dilaksanakan susulan Covid-19 atau ada sumber luar jangka lain.

"Mungkin rizab negeri bertambah kerana mendapat bantuan khas daripada kerajaan pusat atau faktor lain,” katanya.