TUMPAT - Pas mengakui kempen norma baharu menggunakan media sosial yang digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi mengekang penularan Covid-19 memberi 'kejutan' kepada parti itu.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, situasi itu cukup 'perit' untuk dilalui dalam usaha mendekati para pengundi secara lebih dekat melalui kaedah bersemuka sebagaimana pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
"Sejujurnya bukan Pas sahaja merasai kesukaran itu, parti-parti lain pun sama.
"Melihat kepada situasi itu, secara peribadi saya beranggapan peluang untuk kesemua parti yang bertanding seimbang sebab masing-masing ada masalah cara berkempen (menggunakan media sosial)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Restoran D' Terapung Pantai Sri Tujuh di sini pada Isnin.
Beliau berkata, kempen secara dalam talian hanya memberi kesan kepada calon-calon muda dan baharu.
Menurutnya, kebanyakan calon yang sudah berusia tidak terdedah dengan penggunaan media sosial.
"Macam kita (Pas), hanya boleh solat berjemaah dan masuk kedai kopi sahaja untuk bertemu dengan pengundi," ujarnya.
Menurutnya, jika norma baharu itu terus digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), ia akan menjadi cabaran besar buat semua parti bertanding.
Sehubungan itu, katanya, Pas perlu bersiap sedia untuk berdepan sebarang cabaran pada masa hadapan.
Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu berkata, Pas akan berusaha sebaik mungkin untuk menang kesemua lapan kerusi yang ditandinginya pada PRN Melaka.
Pada PRN itu, Pas membentuk gandingan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi Perikatan Nasional (PN).