KENINGAU - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan terus memberi fokus ke arah mengoptimumkan lagi potensi Sabah sebagai hab pengeluaran agromakanan demi menjamin bekalan makanan pada masa hadapan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI Datuk Badrul Hisham Mohd berkata ini termasuk komitmen meningkatkan pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran, selain memperkasa industri ternakan lembu dan lembu tenusu khususnya di Keningau bagi memenuhi permintaan dalam negara.
Menurutnya, usaha itu juga akan dapat membantu dalam merealisasikan hasrat kementerian untuk menjadikan Keningau sebagai lembah buah-buahan Sabah sekali gus meningkatkan produktiviti agromakanan negeri.
"Sabah khususnya Keningau sangat berpotensi untuk kita memperluaskan lagi program bekalan makanan. Dalam Bajet 2022, kerajaan bersetuju untuk menyediakan peruntukan sekitar RM120 juta bagi dana jaminan makanan dan keseluruhan daripada dana ini berkisar daripada aktiviti pengeluaran makanan.
"Sabah pastinya tidak boleh ditinggalkan kerana hampir dua juta ekar tanah di negeri ini sedia untuk ditanam (aktiviti penanaman). Jika kita tidak mengoptimumkan peluang ini maka ia satu kerugian besar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.
Beliau menyerahkan replika cek bantuan menerusi Program Rezeki Tani kepada usahawan wanita di Kampung Skim Pamalan Liawan dekat sini.
Mengulas lanjut, Badrul Hisham berkata Keningau juga dilihat berpotensi tinggi dalam penanaman nanas berikutan kawasan tanah luas, subur dan cuaca sesuai bagi tanaman itu, selain lokasi Sabah yang berdekatan dengan pasaran utama nanas iaitu China dan Hong Kong.
Justeru, katanya, kementerian menerusi Lembaga Industri Nanas Malaysia sedang merangka usaha untuk memperluas aktiviti penanaman nanas secara besar-besaran di Sabah.
Beliau berkata Keningau juga sesuai dijadikan sebagai kawasan penternakan lembu pedaging yang sekali gus dilihat dapat menyokong usaha meningkatkan pengeluaran makanan berasaskan hasil ternakan dalam negara memandangkan ketika ini tahap sara diri bagi bekalan daging tempatan hanya sekitar 23 peratus.
"Kita juga mahu memperkasa golongan petani dengan menarik lebih ramai penyertaan para petani muda dengan menerapkan penggunaan teknologi digital dan mekanisasi seiring Revolusi Industri 4.0,” katanya.
Badrul Hisham berkata kementerian akan melihat secara keseluruhan ekosistem dan kesediaan Sabah dalam membuka potensi negeri itu sebagai hab pengeluaran agromakanan negara.
Sehubungan itu, sokongan daripada kerajaan Sabah dan agensi berkaitan amat penting bagi mengkoordinasikan matlamat berkenaan termasuk usaha menyediakan infrastruktur asas bagi memacu pembangunan pertanian negeri dan memudahkan para petani memasarkan produk, katanya. - Bernama