Bajet 2022: Peruntukan tak lulus boleh mohon semula mulai Mac 2022

Iklan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) merangkap Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed menghadiri Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Mana-mana kementerian, kerajaan negeri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak mendapat peruntukan kewangan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Bajet 2022 meskipun telah membuat permohonan, boleh mengemukakan semula permohonan mereka mulai Mac tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, permohonan boleh dilakukan secara dalam talian melalui Sistem MyProjek bermula 1 Mac 2022 sehingga 31 Mac 2022.

Iklan
Iklan

Unit Perancang Ekonomi (EPU) akan mengedarkan surat pekeliling mengenai perkara berkenaan, katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar bagi Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) di Dewan Rakyat, pada Isnin.

"Sebagai agensi pusat yang merentasi kesemua kementerian termasuk Kementerian Kewangan, kita (EPU) bertanggungjawab untuk menimbang peruntukan yang dipohon dan sebarang proses penambahbaikan akan dibuat tahun depan.

Iklan

"Pada masa sekarang, EPU lebih banyak berhubung dengan kementerian-kementerian secara terus.

"Namun, berdasarkan lebih 600 sesi libat urus yang dibuat dalam RMK12, kerajaan negeri, Ahli Parlimen dan ADUN juga mahu melibatkan diri dengan lebih intensif," katanya.

Iklan

Mustapa berkata sejak RMK10, kerajaan telah mula menimbang sebarang pelan setiap tahun atau secara rancangan boleh pinda yang lebih anjal dan fleksibel, berbanding kaedah menetapkan satu jumlah tetap untuk setiap lima tahun, seperti yang dilakukan sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau berkata permohonan itu juga akan mengambil kira kemampuan kerajaan melalui Kementerian Kewangan untuk melaksanakan sebarang perancangan.

"Dalam keadaan COVID-19 ini, kerajaan juga menghadapi kekangan kewangan. Banyak permohonan kita terima. Jadi, dalam semangat Keluarga Malaysia, penting untuk berkompromi, dan negeri lebih berada membantu negeri yang kurang berada," katanya.

Menjawab persoalan untuk meningkatkan ekuiti bumiputera dalam syarikat, Mustapa menegaskan pegangan sebanyak 17.2 peratus oleh bumiputera setakat 2019 sukar ditingkatkan.

"Ia mencabar kerana ada kecenderungan untuk bumiputera menjual aset mereka kepada bukan bumiputera, dan keduanya masalah struktur di mana ada dasar yang membenarkan milikan 100 peratus dalam bidang pembuatan oleh bukan bumiputera dan pelabur asing.

"Sehubungan itu, kerajaan bercadang untuk meminda Akta Syarikat dan yang berkaitan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menghendaki pemilik saham mengisytiharkan pemegang saham terakhir,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata bagi agenda membanteras kemiskinan tegar, EPU akan memulakan projek rintis secara bersepadu dengan memilih dua kawasan di setiap negeri di Semenanjung dan empat atau lima kawasan di Sabah dan Sarawak.

"Projek secara ‘one-off’ atau sekali sahaja selama dua tahun ini akan mengumpulkan semua pihak termasuk jabatan kerajaan, universiti, pertubuhan bukan kerajaan dan majlis agama Islam untuk membantu menjana pendapatan golongan itu,” katanya sambil memaklumkan ia akan bermula tahun depan.

Beliau berkata kerajaan juga akan melancarkan data berpusat iaitu Pusat Data Perlindungan Sosial yang akan mempunyai data penerima bantuan, sekali gus menjadi rujukan kepada semua pihak untuk menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Katanya, semua usaha ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan dalam RMK12 untuk menghapuskan kemiskinan tegar menjelang 2025 tanpa mengira kaum. - Bernama