KUALA LUMPUR - Gara-gara mempamerkan aksi ‘wheelie’ (mengangkat tayar depan motosikal yang sedang bergerak laju), seorang pelajar sebuah kolej awam ditahan dalam operasi bersepadu motosikal di sini awal hari ini.
Selepas menyedari kehadiran polis, tanpa menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya lain, remaja berumur 19 tahun itu memecut motosikalnya jenis Yamaha Y15ZR sejauh 10 kilometer hingga ke Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata remaja berkenaan memiliki lesen memandu yang sah tetapi bertindak sedemikian selepas menyedari kesalahan melakukan aksi berbahaya di atas jalan raya.
"Selain remaja terbabit, kami turut menahan seorang lagi remaja lelaki berumur 18 tahun dalam operasi sama selepas memecut motosikal dengan melawan arus.
"Remaja itu juga bertindak melarikan diri sebaik melihat pemeriksaan polis di Jalan Raja Laut, namun kami berjaya menahannya di sekitar Sri Rampai,” katanya di operasi berkenaan di sini.
Mazlan berkata, hasil pemeriksaan mendapati remaja berkenaan tidak memiliki lesen memandu dan kedua-dua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata pihaknya turut mengeluarkan 399 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi yang berakhir pukul 2 pagi itu.
Mazlan berkata pihaknya menjalankan operasi itu secara serentak di lima lokasi termasuk di Jalan Raja Laut, Jalan Kuching, Jalan Loke Yew dan Jalan Pahang, di sini bagi memastikan ibu negara bebas daripada kegiatan ‘mat rempit’.
"Operasi berkenaan akan diteruskan dan kami percaya ia dapat mengurangkan kadar kemalangan,” katanya.- Bernama