SETIAP tahun, bulan November dikunjungi musim Monsun Timur Laut dengan kebiasaannya membawa angin kencang dan taburan hujan lebat di sesetengah tempat hingga menyebabkan bencana banjir.
Sepanjang tempoh antara November dan Disember inilah, empat hingga enam episod hujan lebat yang boleh mengakibatkan banjir biasa berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang dan pastinya penduduk di tiga negeri tersebut risau terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan rendah.
Kali ini, susulan taburan hujan yang tinggi mungkin mengundang risiko banjir di beberapa daerah di Pahang yang diramal situasinya agak buruk seperti berlaku pada 2014 apabila air banjir hampir menenggelamkan Kuantan.
Ramalan oleh oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) itu berdasarkan jangkaan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai taburan hujan lebat berlaku di Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor mulai November ini hingga awal Januari 2022.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, antara lokasi diramal banjir besar termasuk di Maran dan Kuala Lipis di Pahang serta Kemaman di Terengganu.
Di Pahang, musim banjir lalu menyaksikan seramai 23,938 mangsa melibatkan 6,456 keluarga dipindahkan ke 241 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah.
Namun, tidak diketahui sama ada mangsa banjir bertambah pada musim tengkujuh kali ini berikutan ramalan mengatakan dua daerah di Pahang akan dilanda banjir besar.
Awal tahun lalu, Temerloh dan Maran ditenggelami air dengan merekodkan 10,920 penduduk di Temerloh dipindahkan ke PPS manakala seramai 1,300 penduduk daripada 302 keluarga di Taman Maran Jaya, Maran dipindahkan ke PPS kerana kawasan itu dinaiki air setinggi 178 sentimeter.
Kejadian banjir di dua daerah ini antara terburuk selepas bah besar pada 2014 dan mengikut ramalan Nadma, tragedi sama kemungkinan berulang di daerah itu dan langkah awal perlu diambil.
Korban
Selain menyaksikan kemusnahan dan kerosakan harta akibat banjir, bencana alam itu juga menyebabkan tragedi menyayat hati dengan mengorbankan nyawa mangsa.
Di Pahang, sepanjang musim tengkujuh tahun lalu merekodkan lima kes mati lemas dengan seorang kakitangan Pejabat Hutan Jerantut menjadi korban pertama selepas ditemui lemas dibawa arus deras di Kampung Gintong, Jerantut.
Allahyarham Zulkarnain Hitam, 58 tahun, dikatakan hanyut ketika berjalan melintasi kawasan banjir berhampiran Sungai Pulas.
Mangsa kedua, seorang kakitangan bank yang maut terkena renjatan elektrik di garaj kereta hadapan rumahnya di Kampung Paya Kechik, Temerloh diikuti mangsa seterusnya, seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP), Ukai Iskandar Zulkarnain, 23, yang hilang dibawa arus di Kampung Gintong, Jerantut.
Kegembiraan empat remaja bermain banjir di Kampung Sangkoh, Kuala Tembeling juga berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka mati akibat lemas.
Dalam kejadian bot terbalik di Sungai Jelai pula meragut nyawa seorang remaja, Nur Zakirah Ahmad Hussin, 19, selepas mayatnya ditemukan di Kuala Sungai Tanum, berhampiran jambatan kereta api Bukit Betong akibat dibawa arus deras.
Diharapkan kejadian pilu membawa tangisan seperti ini tidak berulang pada musim banjir kali ini.
Di sini, semua pihak termasuk ibu bapa perlu memerhatikan tingkah laku anak-anak selama menghadapi banjir.
Penulis berpandangan, banjir bukan tiket untuk berseronok bermain air sebaliknya ia boleh mengundang tragedi hingga akhirnya mengorbankan nyawa manusia.
Jadi, beberapa kejadian lalu itu perlu dijadikan iktibar oleh semua pihak. Siapalah kita sebagai manusia untuk menahan banjir namun hadapi musibah ini dengan lapang dada serta penuh waspada.
*Norawazni Yusof ialah Wartawan Sinar Harian Pahang