Ahmad Bilal tekankan perjuangan nilai integriti

Iklan
Dari kanan: Ketua Pemuda Pas, Senator Ir Kharil Nizam; Ahmad Bilal; Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman dalam satu lawatan ringkas pada Jumaat lalu.

Dari kanan: Ketua Pemuda Pas, Senator Ir Kharil Nizam; Ahmad Bilal; Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman dalam satu lawatan ringkas pada Jumaat lalu.

Menamatkan pengajian dalam jurusan Pengajian Islam di Universiti Yemenia, Sanaa, Yaman pada tahun 2011, Ahmad Bilal Rahudin, 38, yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Melaka kini bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini sebagai calon untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam.

Iklan
Iklan

Anak kelahiran Umbai, Merlimau, Melaka yang memegang jawatan sebagai Exco Pemuda Pas Malaysia ini mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia politik sejak terlibat dalam parti itu pada tahun 2015.

Walaupun tanggungjawab yang perlu digalasnya agak berat pada PRN kali ini, Ahmad Bilal berjanji akan berusaha sebaiknya untuk rakyat Melaka, khususnya untuk menyelesaikan isu pengangguran yang tinggi sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Iklan

Ikuti temubual Wartawan Sinar Harian, Engku Sharful Azni bersama beliau.

SINAR HARIAN: Sejak bilakah saudara berminat dan terlibat secara langsung dalam dunia politik dan apa yang mencetuskannya?

Iklan

AHMAD BILAL: Penyertaan saya dalam bidang politik ini dilihat sebagai satu keperluan dalam Pas untuk memperjuangkan mesej yang dibawa oleh parti dan ia dilihat sebagai suatu perkara yang sangat berintegriti. Ini satu kewajipan kepada saya untuk membantu Pas meperjuangkan misi mereka. Saya mula terlibat dalam dunia politik khususnya dalam Pas sejak pulang ke tanah air pada 2011. Saya mula bergiat di Cawangan Pas Umbai dan pada 2015 saya dipilih sebagai Ketua Pemuda Pas Jasin. Kini saya berkhidmat sebagai Ketua Pemuda Perikatan Nasional Melaka dan Exco Pemuda Pas Malaysia.

Bagaimana saudara terdetik menerima dan membuat keputusan untuk sertai PRN Melaka?

Saya memang berminat dengan apa yang diperjuangkan oleh Pas. Jadi apabila nama saya terpilih untuk menyertai PRN Melaka kali ini, saya taat pada arahan tersebut. Saya merasakan peluang ini sebagai satu amanah daripada parti yang perlu saya galas. Walaupun ia satu tanggungjawab yang berat, namun saya akan berusaha sebaik mungkin untuk membawa misi perjuangan parti ini.

Ahmad Bilal (dua dari kiri) bersama kumpulan penunggang motosikal dari luar Melaka yang hadir untuk memberi sokongan kepadanya sempena PRN Melaka.

Adakah saudara pernah memegang jawatan dalam politik atau di kampus sebelum ini?

Sejak di kampus lagi, saya mula bergiat aktif dalam persatuan pelajar dan menjadi pimpinan pelajar. Ketika di Yaman, saya pernah menjadi Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (Permaya).

Apa persiapan saudara bagi menempuhi pelbagai cabaran untuk PRN Melaka ini?

Persediaan rapi telah diadakan di peringkat parti dan ia telah bermula sejak berlakunya ura-ura bakal terjadinya PRN Melaka. Bagi saya sebagai salah seorang pimpinan PN di peringkat negeri dan pimpinan Pemuda Pas peringkat pusat, terdapat beberapa langkah yang telah diatur untuk menghadapi PRN kali ini. Salah satu langkah ialah gerakan jentera-jentera politik lebih awal selepas mendengar desas-desus bakal berlakunya PRN Melaka. Jentera-jentera tersebut termasuklah dari segi logistik, media sosial dan sebagainya telah dibincangkan lebih awal.

Apa yang saudara ingin perjuangkan sebagai calon PRN Melaka?

Saya telah dipanggil untuk mengangkat nilai integriti dalam pentadbiran kerajaan yang menjadi antara fokus perjuangan. Saya melihat isu pengangguran yang serius dalam kalangan masyarakat perlu diselesaikan dan membuka peluang serta ruang pekerjaan sebanyak mungkin khususnya kepada anak muda bagi menambah pendapatan mereka. Penekanan terhadap peluang pekerjaan dan kemahiran adalah antara agenda bagi PRN Melaka, lebih-lebih lagi sejak pandemik Covid-19 melanda negara. Ramai yang kehilangan kerja dan sumber pendapatan manakala lepasan universiti pula sukar mendapat pekerjaan.

Apakah harapan saudara sebagai calon dan pesanan kepada pengundi menjelang hari pengundian?

Saya harap pengundi di Melaka dapat memberikan undi yang sebaik-baiknya dengan memilih calon daripada Perikatan Nasional yang mengangkat nilai integriti sebagai perkara penting untuk diberikan perhatian.



PROFIL

Nama: Ahmad Bilal Rahudin

Umur: 38 tahun

Asal: Umbai, Merlimau, Melaka

Pendidikan:

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti Yemenia, Sanaa, Yaman (2011)

Jawatan:

- Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Melaka

- Exco Pemuda Pas Malaysia