Azalina mengakui itu merupakan isu paling utama yang dihadapi rakyat di DUN berkenaan dan beliau nekad akan selesaikannya jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Pengalaman mendekati masyarakat menerusi kerja-kerja sukarelawan dan kebajikan sewaktu menjadi skuad prihatin negara merupakan satu kelebihan buat Azalina dalam usaha menawan hati masyarakat di DUN tersebut.
Ikuti temubual Wartawan Sinar Harian, Raja Nur Faznie Aida bersama calon PN DUN Rim ini dalam merungkai agenda perjuangannya.
SINAR HARIAN: Saudari akan bertembung dengan dua lagi calon daripada BN dan PH. Jadi, apa perasaan dan cabaran ketika ini?
AZALINA: Pertama sekali, saya berasa gembira diberi peluang bertanding di kawasan tanah kelahiran sendiri di mana tempat saya membesar dan bersekolah. Jadi, tentulah saya rasa satu kelebihan bila dicalonkan sebagai wakil rakyat. Saya berharap para pengundi dapat memberikan sokongan kepada saya dalam pilihan raya ini.
Dari segi permasalahan rakyat di DUN ini, apakah perubahan yang akan dibawa sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat?
DUN Rim ini agak jauh sedikit daripada pembangunan. Jadi, tentulah masalah liputan internet terbatas dan ini menjadi masalah utama. Ia juga sedikit sebanyak mengganggu waktu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR untuk pelajar sekolah selain peniaga yang berniaga secara dalam talian. Begitu juga akses kepada maklumat pengundi yang keluar mengundi. Jika saya diberi mandat, saya akan berusaha dan berikhtiar untuk mencari jalan bagaimana masalah ini dapat dinaik tarafkan bagi kemudahan penduduk setempat.
Selain masalah capaian internet, apa lagi isu yang sering dibangkitkan oleh rakyat tempatan?
Saya melihat rakyat di sini benar-benar mahukan perubahan. Mereka mahu kurangkan kerenah birokrasi terutama apabila berurusan dengan jabatan kerajaan. Begitu juga dengan isu kumpulan yang tercicir atau terlepas pandang daripada menerima bantuan kerajaan. Ini antara yang perlu diberi pembelaan. Begitu juga dengan sektor ekonomi, mereka mahu DUN Rim ini dinaik taraf. Walaupun jauh dari bandar Melaka namun DUN ini bersebelahan dengan pusat bandar Tangkak, Johor. Dibandingkan dengan Rim, sektor ekonomi di pusat bandar Tangkak lebih meriah dan berkembang pesat. Sepatutnya tempias itu turut dinikmati penduduk di sini kerana ia melibatkan pintu masuk dari Johor ke Melaka melalui DUN Rim. Tetapi ini tidak berlaku seperti diharapkan.
Bagaimana pula dengan gerak kerja saudari ketika berkempen kerana semua sedia maklum sebarang majlis atau ceramah adalah dilarang?
Tentu sekali ada kekangan tetapi saya merasa bersyukur kerana dapat memanfaatkan ruang dan masa bertemu dengan masyarakat sebelum PRN ini berlangsung. Saya juga merupakan salah seorang sukarelawan skuad prihatin negara sebelum ini. Jadi, saya sering turun padang membantu rakyat dalam agihan bantuan bakul makanan dari rumah ke rumah. Bagi saya ini salah satu kelebihan, bagaimanapun kemeriahan pilihan raya ini luar daripada kelaziman. Bagi calon yang baru sahaja terlibat dengan pilihan raya seperti ini, berdepan kesukaran, tetapi bagi yang biasa bertemu masyarakat, ia menjadi satu kelebihan khususnya calon yang datang dari kawasan itu sendiri.
Sejujurnya saya tidak berapa gembira dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan sepanjang PRN Melaka berlangsung kerana saya tidak dapat berjumpa dengan pengundi secara fizikal. Calon juga tidak mempunyai kebebasan untuk bertemu atau memperkenalkan diri kepada masyarakat setempat. Bagi saya, berkempen menerusi media sosial pula tidak banyak membantu di DUN Rim ini kerana masalah liputan. Jika mereka keluar ke pekan barulah mereka dapat akses internet. Inilah cabaran yang saya terpaksa hadapi namun saya akur dengan SOP yang ditetapkan. Semua calon kena faham kerajaan sedang menyekat penularan wabak Covid-19. Kita semua berharap kes akan terus menurun selepas ini.
Apa pendekatan yang saudari ambil untuk pengundi muda di kawasan DUN Rim ini?
Sebelum pilihan raya, saya tidak hanya membantu masyarakat menerusi agihan bakul makanan, tetapi turut menasihati anak-anak muda terutama wanita supaya mengambil peluang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan berniaga. Saya memberi bantuan kanopi dan modal kecil kepada mereka. Saya turut menyantuni pelajar-pelajar yang dapat melanjutkan pelajaran ke universiti. Kebetulan saya adalah Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pelajaran Mara, sedikit sebanyak saya dapat membantu golongan B40 mendapatkan bantuan seperti komputer riba ataupun tawaran menerusi skim pinjaman.
Apa harapan saudari kepada pengundi di DUN Rim ini?
Ikhlas dari sudut hati, saya mohon doa dan restu para pengundi di DUN Rim ini agar dapat memberikan peluang serta mandat sepenuhnya kepada saya sebagai wakil rakyat pada 20 November ini.
Nama: Azalina Abdul Rahman
Umur: 44 tahun
Asal: Kampung Chenderah Jasin, Melaka
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Makanan, UPM
Jawatan:
- Ketua Wanita Perikatan Nasional Melaka
- Ketua Srikandi Bersatu Melaka
- Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pelajaran Mara