NORWICH City melantik bekas pengendali Aston Villa, Dean Smith sebagai ketua jurulatih baharu mereka, yang ditugaskan untuk menyelamatkan Canaries daripada penyingkiran.
Smith, 50 tahun, menggantikan Daniel Farke, yang dipecat oleh Norwich selepas kemenangan 2-1 baru-baru ini di Brentford, di mana ia satu-satunya kemenangan mereka di Liga Perdana Inggeris musim ini.
"Ia merupakan minggu yang mengejutkan bagi saya, tetapi kini saya sangat gembira dapat kembali dan bertugas untuk Norwich City dalam EPL.
"Jelas sekali, terdapat beberapa kerja hebat yang telah dilakukan oleh kelab bola sepak ini sejak empat tahun setengah yang lalu. Kini menjadi tugas saya dan Craig untuk meneruskan dan memperbaiki kerja itu dengan matlamat utama untuk bertahan dalam Liga Perdana,”kata Smith.
Sebelum ini, Bekas pengurus Chelsea, Frank Lampard dilihat sebagai calon utama untuk mengendali Norwich, namun bekas bintang England itu menarik diri daripada jawatan tersebut sebaik Smith mengatakan minat untuk bersaing dengannya.
Dalam pada itu Smith berkata, dia tidak sabar untuk memulakan tugas pertamanya di mana Norwich akan melayan kunjungan Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris di laman sendiri pada 20 November ini.
"Dari umur 16 tahun saya telah bekerja dalam bola sepak. Saya fikir dalam masa itu saya telah berehat selama empat bulan dan tidak menikmatinya. Ia bagus untuk kembali terus bersama kelab yang berazam untuk menjadi progresif.
"Saya sentiasa berusaha untuk menambah baik dan membangunkan pemain, dengan itu jelas menunjukkan prestasi yang lebih baik. Saya benar-benar kagum dengan idea, struktur dan visi yang sudah sedia ada di kelab ini,"katanya.