PENGENDALI Switzerland, Murat Yakin menyifatkanya kejayaan skuad kendaliannya itu mengesahkan slot automatik ke Piala Dunia 2022 apabila membenam Bulgaria 4-0 pada Selasa, sebagai satu pencapaian yang membanggakan.
Menurut Yakin, kesemua pemain dilihat beraksi dengan baik dengan berjaya menangani perasaan gemuruh ketika beraksi di hadapan penyokong sendiri pada perlawanan penting berkenaan.
"Saya tahu pemain beraksi dengan penuh tekanan apatah lagi beraksi di depan penyokong sendiri yang mahu melihat pasukan ini mencatatkan kemenangan dan seterusnya layak ke Piala Dunia secara automatik.
"Pemain kemudiannya dilihat berjaya memberikan aksi terbaik di sepanjang perlawanan dan ia sekali gus dilihat membantu kemenangan penuh bergaya Switzerland kali ini.
"Sudah pasti kejayaan ini dilihat sebagai satu pencapaian besar dan diharapkan ia berterusan sehinggalah ke saingan Piala Dunia nanti,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan Switzerland membuka jaringan menerusi Noah Okafor pada minit ke-48, Ruben Vargas (min-57), Cedric Itten (min-72) dan Remo Freuler pada masa kecederaan.
Kemenangan itu menyaksikan Switzerland mara ke Piala Dunia selaku juara Kumpulan C dengan 18 mata selain berjaya mempertahankan rekod tanpa kalah di sepanjang aksi peringkat kumpulan.
Sementara itu kapten Switzerland Xherdan Shaqiri menyifatkan kejayaan Switzerland itu sebagai sesuatu yang bermakna buat dirinya pada penampilan ke-100 bersama pasukan berkenaan.
"Ia bagaikan mimpi buat saya apabila Switzerland layak ke Piala Dunia dan ia berlaku pada penampilan ke-100 saya.
"Terima kasih kepada semua rakan-rakan sepasukan termasuk jurulatih kami, Murat Yakin yang telah melaksanakan tugas dengan cemerlang. Jumpa di Qatar!” katanya.