PPSB diminta semak semula jadual feri laju

Iklan
Penumpang pejalan kaki menggunakan feri laju untuk menyeberang laut bagi menggantikan perkhidmatan feri ikonik yang dihentikan sejak Januari lalu. Gambar kecil: Mohideen Abdul Kader

GEORGETOWN - Penang Port Sdn Bhd (PPSB) diminta untuk menyemak semula jadual perjalanan feri laju berikutan terdapat selang masa selama dua jam pada beberapa perjalanan (trip) dan ia didapati menyusahkan penumpang pejalan kaki.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, pejalan kaki hanya bergantung kepada perkhidmatan feri laju untuk menyeberangi laut berikutan tidak mampu untuk menampung tambang teksi yang terlalu mahal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mereka tiada pilihan dan hanya bergantung kepada perkhidmatan feri laju walaupun terpaksa menunggu dalam jangka masa yang agak lama.

"Tidak munasabah pejalan kaki perlu merancang perjalanan mereka mengikut jadual feri terutamanya apabila ia berkaitan janji temu penting kerana selang dua jam terlalu lama dan membuang masa penumpang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Katanya lagi, 20 hingga 30 minit selang masa dilihat lebih sesuai berbanding dua jam kerana penumpang kemungkinan mempunyai urusan penting untuk diselesaikan.

"Kehidupan di Pulau Pinang hampir pulih apabila kita beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kekerapan perkhidmatan feri laju harus dipertingkatkan.

Iklan

"Jika PPSB berpendapat bahawa selang dua jam itu diperlukan untuk mengurangkan kos operasi, ia adalah salah kerana operasi pengangkutan awam tidak boleh dianggap sebagai usaha mencari wang. Ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Penang Port," katanya.

Semakan pada jadual perjalanan feri laju di laman web PPSB mendapati, selang masa 30 minit adalah pada waktu pagi dan petang, iaitu waktu puncak.

Sementara itu, selang satu hingga dua jam perjalanan seperti yang dikatakan itu adalah pada waktu di antara waktu puncak tersebut (antara pagi hingga petang).

Mohideen berkata, PPSB perlu belajar daripada perkhidmatan kereta api di Hokkaido, Jepun yang terus menyediakan perkhidmatan ke stesen kereta api kawasan terpencil, Kyu-Shirataki hanya untuk menghantar dan mengambil seorang pelajar sekolah menengah ke kelas.

"Walaupun PPSB tidak dapat mencontohi perkhidmatan kereta api Hokkaido itu, ia sekurang-kurangnya perlu mempertimbangkan keperluan penumpang pejalan kaki untuk mengendalikan jadual yang lebih cekap.

"Mereka tidak boleh mengharapkan penumpang yang tiba di Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth selepas 11 pagi untuk menunggu di terminal feri sehingga 1 tengah hari bagi mendapatkan feri seterusnya ke Pulau Pinang," katanya.

15 Disember tahun lalu, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) mengumumkan perkhidmatan feri di Pulau Pinang untuk kenderaan empat tayar akan dihentikan bermula 1 Januari tahun ini yang mana, feri sedia ada hanya untuk kegunaan motosikal dan basikal.

Ini bermakna, kesemua kenderaan empat tayar tidak lagi boleh menggunakan laluan laut sebagai alternatif untuk ke bahagian pulau atau sebaliknya.

Bermula tarikh itu juga, perkhidmatan feri bagi penumpang, motosikal dan basikal akan diambil alih oleh PPSB daripada Prasarana Malaysia Berhad.

PPSB juga akan menyediakan perkhidmatan katamaran untuk penumpang, motosikal dan basikal bagi menggantikan feri sebelum ini.

Untuk sementara, perkhidmatan bagi penumpang akan menggunakan feri laju manakala untuk motosikal serta basikal menggunakan feri sedia ada.

Bermula 1 Januari 2021 hingga Jun 2022, penggunaan feri laju dan feri sedia ada adalah langkah interim sebelum empat katamaran yang akan dijadikan teksi air dan 'vehicle transporter' digunakan.