KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu mencari mekanisme terbaik bagi meningkatkan keselamatan di Pantai Timur Sabah selepas kawasan itu masih lagi dikenakan perintah berkurung yang sudah lapan tahun lamanya.
Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, sekatan sebegitu menyebabkan industri dan pelancongan di kawasan itu terjejas apatah lagi selepas beberapa negara menasihatkan rakyatnya untuk tidak berkunjung ke kawasan itu.
"Sebab itu saya minta pada kerajaan untuk mengoptimumkan kedudukan pangkalan tentera contohnya di Kota Belud.
Kota Belud tidak menghadapi ancaman lanun, ancaman dari luar.
Putatan juga, tiada ancaman dari anasir luar.
"Sebab itu kita berharap kerajaan pindahkan dan beri fokus kepada Pantai Timur untuk elakkan ancaman dari negara jiran,” katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dalam jawapannya berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melihat semua aspek sebelum membuka pangkalan tentera di perairan Sabah.
"Kita dah lihat semua aspek, isu keselamatan di Pantai Timur Sabah, bahagian sempadan apabila buat perancangan ini. Semua sudah diambil kira.
"Saya boleh beri jaminan, apa yang kita buat, kita sudah buat kajian teliti.
Apa pun, ancaman di Sabah adalah di bawah ESSCOM (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah).
"Tapi ATM juga buat rondaan untuk jaga di kawasan pantai Sabah dengan tanggungjawab itu terletak di bawah Briged13,” ujarnya.
Begitupun, katanya, beliau akan membawa cadangan dan isu dibangkitkan Mohd Azis kepada kementerian bagi mengkaji wujudkan keperluan menambah pengkalan tentera di kawasan itu. - Awani