KUALA TERENGGANU – Terengganu merekodkan sebanyak 6,565 kes penceraian yang didaftarkan di tujuh Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi Rayuan negeri ini dalam tempoh dua tahun.
Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 4,132 kes adalah pembubaran perkahwinan direkodkan sepanjang tahun lepas.
"Bagi data tahun 2021 sehingga 27 Oktober pula, jumlah penceraian adalah sebanyak 2,433 pasangan dengan kategori umur yang terlibat adalah dalam lingkungan antara 21 hingga 65 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Roslee Daud (BN-Bukit Besi) mengenai kes penceraian di Terengganu pada tahun 2020 dan 2021 mengikut pecahan daerah, umur dan punca berlakunya penceraian pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri ke-14 (Bajet) pada Selasa.
Menurut Mohd Nor, Kuala Terengganu merekodkan jumlah pembubaran perkahwinan paling tinggi iaitu 1,923 kes diikuti Kemaman (1,151), Dungun (1,003), Besut (971), Marang (751), Hulu Terengganu (381) dan Setiu (372).
Jelas beliau, antara punca utama berlakunya penceraian di negeri ini adalah kurangnya penghayatan agama Islam dalam hidup pasangan selain tiada persefahaman antara suami isteri.
"Faktor lain adalah masalah kewangan, pengaruh media sosial, suami isteri tidak jalankan tanggungjawab dengan baik, campur tangan keluarga atau bekas pasangan, kehadiran orang ketiga dan ketidakadilan dalam berpoligami.
"Selain itu, masalah ketagihan dadah, pasangan dalam penjara, keganasan rumah tangga sama ada penderaan secara mental atau fizikal, cemburu melampau, ego dan terlalu mengongkong pasangan turut menjadi punca penceraian,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, kerajaan negeri akan menambah baik modul dan kursus perkahwinan sedia ada bagi memastikan rumah tangga yang didirikan lebih kukuh sekali gus mengurangkan kes penceraian.
Katanya, kursus pra perkahwinan baharu itu lebih sesuai dengan situasi semasa selain mengadakan program motivasi dan kesedaran bulanan bagi memberi pendedahan tentang tugas, peranan dan tanggungjawab dalam rumah tangga.
"Kita juga akan mewujudkan kaunselor bertauliah sebagai pakar rujuk dan orang tengah dalam menyelesaikan masalah sepanjang tempoh perkahwinan,” katanya.