MELAKA - Kudung sebelah kaki tidak menghalang Pegawai Trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Sanip Tukiman, 56, menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Selasa.
Sanip yang kehilangan kaki kiri akibat kemalangan jalan raya enam tahun lalu berkerusi roda mengundi di Dewan Serbaguna IPK Melaka pada jam 10 pagi.
Bagaimanapun pegawai itu yang dibantu petugas SPR di pusat undi bersyukur kerana proses mengundi tidak mengambil masa lama.
"Proses mengundi lancar dan teratur. Ramai yang membantu dan memudahkan saya menjalankan tanggungjawab mengundi hari ini.
"Terima kasih kepada semua petugas yang berkhidmat dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa.
Selain itu, Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Muhammad Rafiq Sambin, 26, berkata, proses pengundian berjalan lancar tanpa sebarang gangguan dan mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Menurutnya, semua pengundi mematuhi arahan yang ditetapkan dan menjaga SOP.
Sementara itu, Nur Hidayah Aziz, 30, juga lega apabila urusan pengundian awalnya selesai.
Nur Hidayah yang mengundi kali kedua di Melaka juga memberitahu, beliau dan pengundi lain tidak menghadapi masalah mengikut SOP yang ditetapkan.
"Kami semua sudah menjalankan tanggungjawab dan boleh memulakan kerja semula,” ujarnya.
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my