Warga Pakistan dalang sindiket jual PLKS palsu diberkas

Iklan
Suspek mendirikan makmal di premis khas di premis berkenaan untuk menghasilkan dokumen palsu.

KUALA LUMPUR - Seorang warga Pakistan dipercayai dalang sindiket menjual Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan lesen memandu palsu ditahan dalam satu serbuan di sebuah kondominium mewah di Setapak di sini pada Jumaat.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, lelaki berusia 37 tahun itu mendirikan makmal khas untuk menghasilkan dokumen palsu di premis tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, susulan soal siasat terhadap suspek, pihaknya menyerbu sebuah kondominium mewah di Jalan Genting Klang dipercayai disewa untuk kegiatan sama.

"Sindiket ini dikesan aktif sejak setahun lalu dengan mengenakan bayaran dari RM300 hingga RM500 bagi setiap pelekat PLKS bergantung kepada kualiti dikehendaki pelanggan dan RM50 untuk lesen memandu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Khairul Dzaimee berkata, modus operandi sindiket tersebut adalah dengan menggunakan PLKS sebuah syarikat pembersihan untuk bebas bergerak dan menyewa kondominium mewah dengan akses terhad serta kawalan ketat untuk menyukarkan siasatan.

Pelbagaj jenis cap jabatan ditemui.

Tambahnya, pasukan serbuan menemui peralatan komputer, mesin pencetak kad, pelbagai cap perwakilan asing dan wang tunai berjumlah RM13,710 dipercayai hasil jualan dokumen palsu dalam serbuan berkenaan.

Iklan

"Pemeriksaan lanjut menjumpai pelekat PLKS, lesen memandu Malaysia dan visa negara asing siap dicetak dan disusun rapi dipercayai sedia untuk diserahkan kepada pelanggan.

"Turut ditemui adalah cap Pas Lawatan Sosial (PLS) dan lain-lain cap rasmi Imigresen Malaysia palsu yang digunakan dalam pemalsuan dokumen," katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana menghasilkan dokumen palsu dan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 bagi kesalahan melanggar syarat pas.