Kerajaan belum cadang gubal akta khusus berkaitan halal

Iklan

KUALA LUMPUR - Undang-undang sedia ada bagi kawalan pensijilan halal di seluruh negara masih relevan dan memenuhi kehendak serta keperluan semasa.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, undang-undang sedia ada seperti Akta Perihal Dagangan 2011 dan undang-undang subsidiari di bawahnya iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 serta enakmen di negeri-negeri masih terpakai.

Iklan
Iklan

"Berhubung penggubalan suatu akta khusus berkaitan halal, perkara ini memerlukan kepada penelitian terhadap pelbagai undang-undang yang sedang berkuat kuasa sama ada undang- undang persekutuan atau negeri bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan peruntukan Perlembagaan dan undang- undang sedia ada.

"Buat masa ini, kerajaan berpendapat penggunaan undang-undang seperti Akta Perihal Dagangan 2011 dan undang-undang subsidiari di bawahnya iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 serta enakmen di negeri-negeri masih relevan dan memenuhi kehendak dan keperluan semasa,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) yang meminta perdana menteri menyatakan proses penggubalan satu Akta Halal bagi tujuan penyelarasan dan pemantapan peruntukan undang-undang mengenai proses, prosedur serta kawalan pensijilan halal untuk seluruh negara.

Tambahnya, dalam memacu negara menjadi hab industri halal bertaraf dunia, kerajaan juga sentiasa prihatin terhadap semua aspek yang berkaitan dengan halal termasuk perundangan.

Iklan

"Usaha penyelarasan dan pemantapan peruntukan undang-undang mengenai proses, prosedur serta kawalan pensijilan halal untuk seluruh negara sentiasa giat dijalankan bagi memperkasakan industri halal,” katanya.