MELAKA - Perikatan Nasional (PN) 'menonjolkan' Tan Sri Muhyiddin Yassin sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan kerana tidak yakin dengan calonnya sendiri.
Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menafikan dakwaan tersebut sebaliknya menyifatkan ia membawa mesej jelas agar rakyat perlu memilih PN yang telah membawa perubahan besar dalam negara sejak gabungan itu dibentuk dua tahun lalu.
"Bukan kita tak yakin (terhadap calon PN), namun dalam norma baharu ini agak sukar untuk calon-calon turun ke bawah dan mengadakan program untuk bertemu dengan pengundi kerana prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kita memahami ini adalah demi menjaga dan melindungi kesihatan.
"Namun mereka ini mendukung dasar PN, dan saya kira tidak salah untuk kita menonjolkan tokoh besar PN yang terbukti telah membawa satu perubahan yang besar dalam tempoh dua tahun semenjak PN terbentuk.
"Jadi ini satu strategi untuk memperlihatkan bahawa Muhyiddin mempunyai dukungan dalam kalangan anak-anak muda yang akan mewarisi kepimpinan negara akan datang," katanya ketika ditemui pemberita di Bazar Ole-Oleh Melaka, Bandar Hilir, di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian mengulas persepsi bahawa PN tidak yakin dengan calon sendiri kerana didapati banyak menggunakan gambar Muhyiddin berbanding gambar calon sendiri bagi kempen PRN Melaka.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin juga tidak melihat pertembungan Barisan Nasional (BN) dan PN pada PRN Melaka boleh memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).
"Saya yakin rakyat Melaka matang untuk melihat kerjasama yang telah terbentuk dalam PN selama hampir dua tahun bawah kepimpinan Muhyiddin dan dasar-dasar PN yang peduli rakyat dan peduli kepada pemulihan ekonomi.
"Mereka mahukan kerajaan yang stabil, prihatin rakyat, progresif dan ia ada dalam PN," katanya.
Beliau turut meletakkan keyakinan tinggi terhadap calon muda PN bagi menenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir dan Kesidang.
Masing-masing adalah Clarice Chan Ming Wang dan Patrick Ng Chin Kae.
"Dengan penonjolan tokoh-tokoh muda ini mereka mempunyai idea-idea yang baharu dan mereka cukup bertenaga untuk menyertai proses pemulihan ekonomi di negeri Melaka dengan memberikan pandangan dan input kepada kerajaaan Persekutuan, serta kerajaan negeri yang bakal dibentuk," katanya.