MELAKA - Calon Ketua Menteri Pakatan Harapan (PH), Adly Zahari bersetuju menyertai cabaran debat menerusi Program Berani Semuka anjuran Sinar Harian.
Program itu bakal berlangsung pada malam kemuncak Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Jumaat, 19 November ini.
Ia dijangka menampilkan calon-calon ‘heavyweight’ enam parti politik yang bertanding, termasuk calon-calon Ketua Menteri Melaka dan kepimpinan parti peringkat negeri.
Adly berkata, beliau melihat ia sebagai satu ruang yang baik bagi membolehkan pemimpin mengemukakan dasar-dasarnya dalam bentuk perbincangan yang matang.
"Dalam konteks demokrasi, kita bukan nak cari siapa pemenang. Kita harus mencari solusi kepada masalah-masalah rakyat.
"Bagi saya, apa pun ruang perbincangan kita antara pemimpin-pemimpin politik ini, saya fikir harus disegarkan dengan perbincangan, perbahasan perdebatan kerana pemimpin politik akhirnya akan berdebat di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Beliau juga yakin setiap pemimpin mempunyai keupayaan dan kepintaran dalam menyampaikan hujah masing-masing.
"Saya tak nafikan, jika tawaran itu (debat) dibuat mestilah kepada pembuat-pembuat dasar yang asas, ketua kepada kepimpinan itu.
"Jika kita ingin berbincang, kita mesti berbincang kepada polisi-polisi asas yang kita laksanakan supaya ada imbangan dan penilaian yang baik daripada rakyat itu sendiri,” katanya.
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my