Christopher dilantik pengurus baharu B-17 kebangsaan

Iklan
Christopher Raj dilantik sebagai pengurus baharu pasukan B-17 kebangsaan. - Foto FAM

PENGERUSI Jawatankuasa Komunikasi dan Media Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Christopher Raj dilantik sebagai pengurus baharu pasukan Bawah 17 tahun (B-17) kebangsaan.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif ketiga yang dipengerusikan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin di Wisman FAM, Kelana Jaya, semalam.

Iklan
Iklan

Pasukan B-17 tahun kebangsaan bakal mengharungi aksi kelayakan Kejohanan Asia Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-17 pada Oktober 2022.

Christopher merakamkan penghargaan kepada Hamidin dan FAM atas pelantikan itu.

Iklan

"Saya amat berterima kasih kepada Presiden, Datuk Hamidin Haji Mohd Amin dan juga barisan EXCO FAM di atas pelantikan ini. Ini adalah satu penghargaan dan tanggungjawab besar yang harus dipikul demi menaikkan lagi mutu bolasepak di negara kita," katanya.

Skuad muda negara akan dibarisi oleh hampir 90 peratus pemain dari Akademi Moktar Dahari (AMD) dan bakal berkelana di Timur Tengah bagi sesi persiapan mengharungi aksi kelayakan AFC B-17 pada Oktober 2022.

Iklan

Dalam pada itu Christopher berkata, beliau sudah mengadakan sesi perbincangan bersama Pengarah Teknikal AMD, Saad Ichalalene untuk memilih barisan kejurulatihan yang akan mengendalikan pasukan berkenaan.

"Saya juga sempat berbincang bersama Saad untuk memilih barisan kejurulatihan. Kami akan membawa pasukan ini terbang ke Timur Tengah untuk mengadakan sesi pemanas badan bagi aksi kelayakan di Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE)," katanya.

Pusingan akhir Kejohanan Asia AFC B-17 yang bakal berlangsung di Bahrain pada 2023 itu juga merupakan tiket bagi pasukan negara untuk layak ke Piala Dunia FIFA B-17 tahun di Peru pada tahun sama.