Tambah pondok polis mudahkan masyarakat buat aduan

Iklan
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah

PENAMPANG - Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah menyarankan ketua polis daerah di negeri ini memperbanyakkan pondok polis di kawasan masing-masing bagi memudahkan masyarakat setempat membuat aduan tanpa perlu bergerak terlalu jauh.

Beliau berkata, pondok polis itu perlu dibina antara jarak 20 hingga 30 kilometer dari setiap balai polis masing-masing dan perlu dilengkapkan dengan sistem kepolisian terkini.

Iklan
Iklan

"Ia bagi memastikan proses aduan atau laporan yang diterima dapat diambil tindakan sewajarnya sekali gus dapat memberi ruang masa kepada pegawai serta anggota terlibat untuk melakukan siasatan lebih awal.

"Dengan adanya kemudahan ini, masyarakat tidak lagi perlu pergi jauh untuk membuat laporan sekiranya berlaku sebarang perkara yang memerlukan bantuan atau pun aduan," katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan rasminya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di sini pada Selasa.

Iklan

Menurut rekod, setakat ini terdapat sebanyak 67 pondok polis ditempatkan di seluruh daerah di negeri ini.

Sementara itu, mengulas berhubung pembinaan baharu IPD Penampang di tapak baharu, Idris berkata, ketika ini, proses dokumentasi sedang dilakukan.

Iklan

"Pembinaan hanya akan dapat diteruskan selepas semua proses berkenaan selesai," katanya sambil memaklumkan kos pembinaan dianggarkan mencecah RM150 juta.

Sebelum itu, beliau turut mengingatkan semua IPD sentiasa berusaha untuk memperbaiki perjawatan anggota dan pegawai di negeri ini.

Hadir sama dalam lawatan itu, Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Senior Asisten Komisioner Zabidi Md Zain; Ketua Cawangan Khas IPK Sabah, Datuk Mohd Salleh Yahya dan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.