JPN Perak puas hati persediaan sekolah

Iklan
Mohd Suhaimi (kiri) menyampaikan cek RM500 sumbangan KGMB kepada sekolah terpilih.

IPOH - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak berpuas hati dengan komitmen dan persediaan dilakukan pentadbiran sekolah menjelang pembukaan semula sesi pembelajaran bersemuka pada Isnin depan.

Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Datuk Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata, pemantauan dan pemeriksaan dijalankan mendapati semua sekolah terlibat melakukan persiapan rapi bagi memastikan setiap prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, alhamdulillah (tiada masalah berbangkit) dan kita berpuas hati. Semua sekolah telah bersedia untuk pembukaan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pejabat Baharu Koperasi Guru-Guru Sekolah Malaysia Berhad (KGSM) di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengerusi KGSM, Muslim Ahmad.

Iklan

Pengoperasian institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Perak bermula 22 November ini adalah mengikut ketetapan Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengoperasiannya melibatkan kehadiran murid Tahun Satu hingga Tahun Enam di sekolah rendah serta kelas peralihan dan Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat di sekolah menengah.

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Suhaimi mengingatkan semua yang terlibat baik di peringkat guru mahupun pelajar menjaga SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan kelancaran sesi pembelajaran.

"Saya percaya semua pengurusan sekolah telahpun sedar dan peka dalam perkara ini dan mereka dapat memastikan pelaksanaan SOP ini dipatuhi sebaiknya," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, JPN Perak telah mengedarkan lebih 5,000 bantuan bakul makanan kepada keluarga pelajar yang terjejas sepanjang pandemik Covid-19 yang lalu.

Katanya, bantuan itu diselaraskan bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan jabatan kerajaan lain dengan sebahagiannya adalah hasil sumbangan alumni sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta koperasi guru.

"Kita telah melaksanakan pelbagai program untuk membantu murid-murid yang terkesan ini terutama dari segi bantuan makanan, peranti seperti telefon pintar dan tablet serta penyediaan modul latihan.

"Ini dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak yang ada kepentingan dalam pendidikan seperti koperasi ini yang ditadbir oleh guru-guru hebat, jadi wajarlah mereka bersama-sama membantu warga anak-anak didik kita yang terkesan," katanya.

Dalam majlis itu, KGSM menerusi program tanggungjawab sosial (CSR) telah menyumbang bantuan kewangan RM500 kepada 12 sekolah terpilih bagi menyokong dana PIBG.