Pekerja maut kena renjatan elektrik, syarikat didenda RM40,000

Iklan
Syarikat Sinergi Perdana Sdn Bhd yang diwakili Pengurus Undang-Undang dan Korporatnya, Siti Fairuz Kamis (kanan) didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Klang hari ini. - Bernama

KLANG - Syarikat konsortium pertanian Sinergi Perdana Sdn Bhd didenda RM40,000 atau penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa kerana gagal memastikan keselamatan di tempat kerja sehingga menyebabkan seorang pekerja maut terkena renjatan elektrik, dua tahun lepas.

Hakim, Razali Arifin menjatuhi hukuman itu terhadap syarikat tersebut sebagai Orang Kena Saman (OKS) selepas syarikat itu yang diwakili Pengurus Undang-Undang dan Korporat Siti Fairuz Kamis, 35, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapi.

Iklan
Iklan

Sinergi Perdana sebagai majikan didakwa gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja dengan tidak menyediakan maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan untuk menjalankan aktiviti kerja kimpalan pada tapak motor elektrik ‘granulator chute’ sehingga menyebabkan kemalangan maut kepada Jafri Jamaluddin, 41.

Syarikat itu melakukan kesalahan tersebut di bahagian pengeluaran dalam kilang, di Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, di sini pada 4.50 petang 19 Feb 2019.

Iklan

Pertuduhan mengikut Seksyen 15(2)(c) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta dihukum di bawah Seksyen 19 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian mangsa yang bekerja berseorangan telah membuat kerja baik pulih ‘granulator chute’ telah terkena renjatan elektrik.

Iklan

Mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang tetapi disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan.

Sebelum itu semasa memohon hukuman yang ringan, Siti Fairuz berkata kemalangan tersebut berlaku ketika syarikat itu baru beroperasi selama setahun dan ia merupakan kesalahan pertama.

"Kami telah mengambil tindakan segera dengan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan kerja-kerja selamat dengan pekerja sentiasa diberikan latihan," katanya.

Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor Jamaludin Harun dan Mohd Nizam Teh Kammaruddin berkata akibat kecuaian tersebut, syarikat itu kehilangan pekerja berkemahiran.

"Tindakan dibuat selepas kejadian berlaku sepatutnya dilakukan sebelum berlaku. Justeru, saya mohon hukuman setimpal dan berat sebagai pengajaran kepada OKS dan peringatan kepada syarikat di luar sana," katanya. - Bernama