Indonesia Masters: Zii Jia tarik diri

Iklan
Aksi Zii Jia ketika menentang Gemke pada pusingan pertama Masters Indonesia di Bali sebentar tadi.

JAGUH perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menarik diri daripada meneruskan permainan ketika berdepan pemain Denmark, Rasmus Gemke pada pusingan pertama Masters Indonesia di Bali sebentar tadi.

Tampil selaku pemain nombor tujuh dunia, Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 terpaksa mengalah lebih awal ketika dia ketinggalan 9-11 dalam aksi set pertama.

Iklan
Iklan

Keputusan menarik diri itu dipercayai ada kaitan dengan kecederaan belakang yang dialami Zii Jia ketika menentang pemain Singapura, Loh Kean Yew dalam aksi final Terbuka Hylo di Jerman pada 8 November lalu.

Sebelum ini, penyertaan Zii Jia di Bali mencetuskan tanda-tanya susulan kecederaan belakang yang dialaminya itu sebelum dia disahkan akan beraksi selepas dilapor sudah pulih.

Iklan

Terdahulu, beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying terkandas di pusingan pertama buat kali ketiga selepas dikejutkan dengan kekalahan 13-21, 19-21 kepada pasangan Jerman, Jones Ralfy Jansen-Linda Efler.

Sebelum ini, Peng Soon-Liu Ying yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 turut tersingkir di pusingan pertama ketika saingan Terbuka Denmark bulan lalu dan Terbuka Hylo pada awal bulan ini.

Iklan

Beregu lelaki profesional, Goh V Shem-Low Juan Shen turut ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama selepas tewas 18-21-18-21 kepada gandingan Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar.

Nasib berbeza pula dialami dua gandingan beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei selepas masing-masing mengesahkan tempat ke pusingan kedua.

Pang Ron-Yee mara selepas memperoleh kemenangan percuma ketika mendahului lawan dari Jepun, Yujiro Nishikawa-Saori Ozaki 5-2 di set pertama manakala Tang Jie-Yen Wei tidak berdepan masalah menewaskan beregu Korea Selatan, Seo Seung Jae-Kim Hye Jeong 21-17, 21-13.